Silap City benarkan Liverpool juarai EPL -- Guardiola

Oleh Ammar Hakim 22 Julai 2020 6869
Silap City benarkan Liverpool juarai EPL -- Guardiola
Pep Guardiola mengakui berang dengan aksi kurang konsisten Manchester City musim ini, menyukarkan dirinya untuk mencari pemain yang cemerlang dalam pasukannya.

Selepas City menoktahkan kemenangan 4-0 ke atas Watford awal pagi tadi, riak wajah murang Guardiola menjelaskan dia masih lagi kecewa dengan kekalahan separuh akhir Piala FA kepada Arsenal.

Dia mendakwa City bermain sambil lewa dalam separuh masa pertama ketika berdepan Arsenal, dan menjelaskan persembahan pasukan selepas mengatasi Watford mencapai piawaian yang 'minimum' sahaja.

Kemenangan tersebut merupakan yang keempat berturut-turut buat City dalam saingan EPL, tetapi mewakili prestasi terbaik bagi musim ini, jauh berbeza jika dibandingkan ketika mereka bergelar juara.

Di sebalik Raheem Sterling yang meledak gol ke-19 EPL musim ini, Guardiola enggan untuk memberikan pujian kepada bintang England itu kerana secara kolektif City gagal bermain dengan baik.

"Saya tidak memiliki sebarang keluhan. Saya gemar menyaksikan pemain-pemain yang memiliki keinginan untuk meledak gol dan menampilkan komitmen yang tinggi dalam mencari jaringan.

"Tetapi Sterling dan seluruh pasukan City perlu menyedari pasukan ketinggalan jauh di belakang Liverpool.

"Ini merupakan kali pertama kami memenangi empat perlawanan berturut-turut dalam saingan EPL.

"Dua musim lalu kami melakukan 18 kemenangan berturut-turut dan 14 musim lalu. Ini merupakan kali pertama kami menang empat perlawanan berturut-turut.

"Ia membuktikan kegagalan buat pasukan untuk mempamerkan aksi konsisten.

"Ia telahpun berlaku dan saya perlu mencari ramuan terbaik untuk musim depan."
  Guardiola berkata kepada BBC Sport bahawa anugerah pemain terbaik musim ini seharusnya diberikan kepada pemain-pemain Liverpool berbanding bintangnya sendiri, seperti Kevin De Bruyne.

Walaupun jurang dengan Liverpool telah berkurang kepada 15 mata selepas City meraih kemenangan, mereka gagal dalam persaingan takhta liga dan pengurusnya menyedari perkara itu.

"Ia merupakan usaha semua pihak. Bukan hanya seorang atau 11 pemain, saya tidak pernah meletakkan harapan kepada seorang pemain, ia merupakan komitmen seluruh pasukan," kata Guardiola.



 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen