Pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger, mahu mereka yang bertanggungjawab melakukan ejekan perkauman supaya "mendapatkan pendidikan asas" selepas dia menjadi mangsa ejekan itu ketika menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Selepas terlibat dalam satu insiden yang mengakibatkan penyerang Spurs, Son Heung-min, dibuang padang dalam babak kedua, pertahanan kebangsaan Jerman itu melaporkan kepada pegawai perlawanan bahawa dia menjadi sasaran ejekan perkauman dari tempat duduk penonton.

Di antara insiden itu dan penamat perlawanan, satu pengumuman dibacakan melalui sistem siar raya di Stadium Tottenham Hotspur yang berkata: "Kelakuan perkauman daripada penonton telah mengganggu perlawanan."

Pengurus The Blues, Frank Lampard, mengesahkan Rudiger dan kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta, telah melaporkan perkara itu kepada pergawai Liga Perdana selepas tamat perlawanan dan bekas bintang AS Roma itu meluahkan perasaannya dalam satu ciapan Twitter.

"Kemenangan Besar!" ciapnya yang disusuli dengan tanda pagar "#NoToRacism #PleaseGetSomeBasicEducation #AlwaysBelieve #Hustle #cleansheet."

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan, pengurus Spurs, Jose Mourinho, berkata: ""Saya tidak dapat mengulas banyak melainkan ia sesuatu yang menyedihkan saya.

"Saya benci sikap perkauman dalam masyarakat, Saya benci sikap perkauman dalam bola sepak."

Perlawanan itu merupakan perlawanan berprofil tinggi kedua yang dicemari insiden perkauman sepanjang bulan ini.

7 Disember lalu, pada penghujung perlawanan di mana Manchester United memenangi perlawanan 'derby' di Stadium Etihad, seorang penyokong Manchester City dilihat menunjukkan gaya seekor monyet ke arah Fred dan Jesse Lingard.

Polis Greater Manchester menahan seorang lelaki berusia 41 tahun kerana disyaki melanggar undang-udang perkauman di tempat awam selepas insiden itu.

Dia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sehingga siasatan lanjut.