Pemain tengah Newcastle United, Jonjo Shelvey, berasakan dia bertanggungjawab membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh Rafael Benitez untuk memberikan tempat kepadanya dalam kesebelasan utama.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan antara pemain yang menyerlah di atas padang selepas Newcastle bangkit daripada ketinggalan untuk seri 1-1 dengan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.

Shelvey telah diketepikan untuk beraksi bersama skuad bawah 23 tahun sebelum membuat penampilan sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah dalam aksi pembukaan berdepan Tottenham.

Tetapi kekalahan 1-0 kepada Brighton and Hove Albion minggu lalu membuka ruang kepadanya dan dia gembira untuk memberikan satu mata untuk pasukannya.

"Saya terhutang budi kepada pasukan saya dan berharap ia telah terbalas hari ini. Ia adalah satu perkara yang buruk apabila diketepikan daripada skuad utama, terutama sekali ketika mereka meraih kemenangan," kata Shelvey.

"Benitez telah meletakkan kepercayaan kepada saya dan berharap saya dapat memberikan yang terbaik.

"Dia merupakan seorang jurulatih yang teliti. Banyak perkara dapat dipelajari daripada beliau," katanya.

Selepas meraih satu mata berdepan Liverpool, Benitez memberitahu bahawa beliau berpuas hati dengan permulaan Newcastle bagi musim ini.

"Jika anda melihat mata yang telah diperoleh dan kami merupakan pendatang baru untuk musim ini, kami seharusnya mampu melakukan lebih lagi ketika berdepan Huddersfield dan Brighton," katanya.

"Saya sangat gembira dengan kedudukan ini," katanya lagi.