Pertahanan Manchester United, Luke Shaw, diberikan kontrak baru selama lima tahun susulan prestasi cemerlang di permulaan musim ini.

Sepanjang berada di Old Trafford, Shaw sering menjadi perhatian akibat prestasi yang tidak konsisten sejak berhijrah daripada Southampton pada 2014 sambil pengendali pasukan, Jose Mourinho, beberapa kali mengkritiknya.

Namun, permulaan cemerlang bagi musim 2018/19 membolehkan pertahanan itu menerima semula panggilan skuad kebangsaan England serta mendapat kontrak baru di United.

Dia hanya tampil lapan kali dalam kesebelasan utama buat The Red Devils bagi musim lalu tetapi beraksi 90 minit dalam tujuh perlawanan musim ini buat United yang kini menduduki tangga kelapan liga.

Pemain berusia 23 tahun itu mengakui perkembangannya bersama United tidak begitu lancar tetapi dia positif mengenai masa depan selepas bangkit daripada kecederaan patah kaki.

"Saya berbangga dan sangat gembira. Ia menjadi tempoh empat tahun yang penuh cabaran buat saya. Terdapat pahit dan manis," kata Shaw.

"Daripada kontrak baru ini, segalanya adalah untuk meneruskan kemaraan dan memikirkan bagaimana saya boleh membantu pasukan dalam usaha mengejar semula kejayaan.

"Jika anda lihat situasi saya tahun lalu, anda mungkin fikirkan apa yang berlaku hari ini sesuatu yang mustahil tetapi saya bekerja keras, mahu kekal di sini dan memastikan masa depan dapat membantu pasukan."

Setelah kembali meraih tempat dalam skuad utama United, Shaw akhirnya menerima panggilan semula pasukan England tetapi bekas pertahanan Southampton itu bertekad mahu mengekalkan prestasi terbaiknya bagi membantu anak buah Mourinho mengubah permulaan buruk musim ini.

"Saya sangat gembira denga prestasi saya dan ketika pra-musim, saya bekerja keras untuk memastikan dapat meraih peluang berada dalam pasukan. Syukur saya dapat melakukannya," tambah Shaw.

"Kerja keras tidak pernah tamat. Saya mahu kekal bersama pasukan dan terus menyarung jersi ini. Jadi, saya terus berusaha, fokus serta gigih.

"Semua orang tahu United adalah pasukan yang besar dan jelas sekali kejayaan yang pernah diraih telah berlalu tetapi secara peribadi, hanya masa akan menentukan kejayaan itu akan kembali.

"Saya dapat lihat pasukan yang kami miliki ketika ini. United mempunyai kelompok pemain yang hebat. Bakat yang ada begitu bagus dan terdapat ramai pemain muda yang dahagakan trofi. Ia sesuatu yang bagus buat pasukan serta peminat," katanya.