Luke Shaw memdakwa bahawa pengadil, Stuart Attwell, telah berkata kepada kapten Manchester United, Harry Maguire, bahawa memberikan sepakan penalti ketika pasukan itu terikat tanpa jaringan dengan Chelsea awal pagi tadi akan mencetuskan "banyak cakap-cakap".

Skuad The Red Devils itu melebarkan rekod tanpa kalah di gelanggang lawan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada 20 perlawanan berturut-turut selepas pertemuan di Stamford Bridge itu berakhir 0-0.

Dalam babak pertama, Attwell merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR) sama ada United perlu diberikan sepakan penalti atau tidak susulan satu insiden bola melantun yang kelihatan terkena tangan Callum Hudson-Odoi, yang ketika itu sedang berdepan dengan Mason Greenwood.

Pegawai itu kekal dengan keputusan awalnya untuk tidak memberikan sepakan penalti dan Shaw mendedahkan bahawa pengadil itu memberitahu Maguire bahawa sekiranya dia mengubah keputusan itu, ia akan mencetuskan kontroversi.

"Ketika saya melihat insiden itu, saya tidak tahu sama ada bola terkena tangan Mason atau Callum," kata Shaw kepada Sky Sports.

"Saya tidak tahu sama ada terdapat potensi untuk ia disemak dan mereka perlu menghentikan (perlawanan) atau tidak jika ia bukan sepakan penalti.

"Tetapi saya ada mendengar pengadil memberitahu H (Maguire): 'Jika saya berikan sepakan penalti, ia akan mencetuskan banyak pertikaian selepas ini'. H diberitahu bahawa ia sepatutnya sepakan penalti selepas semakan VAR tetapi saya tidak akan merengek," katanya.

Bercakap kepada Sky Sports, bekas kapten United, Gary Neville, berkata insiden seperti itu akan memberikan sepakan penalti sebelum penilaian mengenai insiden bola terkena tangan dalam EPL diubah pada awal musim ini.

"Tiada sebarang pertikaian sebelum awal musim ini bahawa ia adalah satu sepakan penalti. Hudson-Odoi panik dan lengannya tidak sepatutnya berada di situ. Saya fikir ia adalah sepakan penalti," katanya.

Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, berkata memberikan sepakan penalti seperti itu merupakan sesuatu yang mengarut kerana bola itu turut terkena lengan Greenwood.

"Bagaimana perkara seperti ini memerlukan VAR? Pemain dengan jersi merah mengawal bola menggunakan tangan dan kemudian mereka memeriksanya untuk sepakan penalti? Mengapa pengadil harus menyemaknya?

"Saya melihatnya semula dengan iPad, saya tidak faham mengapa pengadil perlu memeriksanya tetapi saya lega ia bukan penalti. Itu mungkin menjadi lebih buruk," katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan United berkelebihan satu mata di depan pasukan di tangga ketiga, Leicester, tetapi ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.