Luke Shaw menganggap persembahan Manchester United ketika mengatasi Cardiff City adalah corak permainan sebenar pasukan The Red Devils itu.

Jose Mourinho dipecat United minggu lalu dan kehadiran pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer, meningkatkan semula semangat kelab itu selepas mendominasi Cardiff 5-1 kelmarin.

United mempamerkan aksi terbaik selepas meledak lima gol dalam satu perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak aksi terakhir di bawah kendalian Alex Ferguson pada 2013.

"Kami menggerakkan bola dengan lebih pantas," kata Shaw. "Gol-gol yang dihasilkan sangat baik. Sepakan percuma Marcus Rashford membantu kami mengatasi perasaan gementar.

"Cardiff telah menjaringkan gol tetapi ia tidak mengubah rentak permainan.

"Prestasi yang dipamerkan mengatasi Cardiff ini adalah cara sebenar perlawanan yang harus dipamerkan United. Ia tidak berlaku ketika di bawah kendalian Mourinho," katanya.

Tempoh dua setengah tahun Mourinho akhirnya berpenghujung apabila United sekadar menghuni tangga keenam liga dan ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Pengendali kelahiran Portugal itu telah memenangi Liga Europa (UEL), Piala EFL dan Perisai Komuniti dalam musim pertamanya sebelum mengakhiri saingan di tangga kedua EPL musim lalu.

"Kami harus menghormati apa yang telah dilakukan Mourinho sepanjang bersama kelab. Beliau telah membantu United memenangi tiga gelaran. Menjulang UEL telah membantu pasukan kembali ke saingan Liga Juara-Juara (UCL)."