Shaw: Greenwood mampu jadi Van Persie seterusnya

Oleh Nafis Abdullah 21 Mei 2020 79
Shaw: Greenwood mampu jadi Van Persie seterusnya
Mason Greenwood berupaya untuk menjadi Robin Van Persie yang seterusnya buat Manchester United, kata pertahanan, Luke Shaw.

Greenwood menikmati musim sulung gemilang di Old Trafford, meledakkan 12 gol dan mencipta empat bantuan jaringan walaupun 20 daripada 36 penampilannya hadir selaku pemain gantian.

Namun, Shaw memuji potensi dimiliki pemain berusia 18 tahun itu dan melihat bayangan Van Persie -- yang meraih musim sulung hebat di Old Trafford pada musim 2012-13 -- dan menjulang gelaran liga.

"Greenwood menikmati musim sulung hebat bersama skuad utama. Jelas sekali dia penjaring gol sejati," kata Shaw.

"Musim ini -- walaupun dia tidak berada dalam kesebelasan utama sepanjang masa -- tetapi statistik yang dicatatkan sangat hebat. Dia juga mencipta bantuan gol. Untuk seorang pemain muda, dia melakukannya dengan baik.

"Masih banyak ruang buatnya belajar tetapi jika dia terus bekerja keras dan berusaha gigih, saya tidak nampak sebab untuk gagal melihatnya muncul menjadi Van Persie seterusnya, meledakkan banyak gol."

"Secara semulajadi, dia menggunakan kedua belah kakinya. Ia sukar dipercayai," tambah Shaw.

"Ketika saya muda dan berada dalam skuad belia, terdapat pemain muda bernama Lewis Baker yang beraksi untuk Chelsea dan menggunakan kedua belah kakinya.

"Baker dan Greenwood mungkin satu-satunya pemain sebegitu yang pernah saya lihat. Di Southampton, Adam Lallana juga mampu menggunakan kedua belah kaki.

"Ravel Morrison juga ampuh dengan kemampuan sama dan ramai orang memperkatakan tentang potensi dimiliki dalam beberapa minggu lalu tetapi saya melihat Greenwood unggul di barisan depan."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen