Shaqiri bintang Liverpool ketiga positif COVID-19 

Oleh Shaiful Shamsudin 6 Oktober 2020 378
Shaqiri bintang Liverpool ketiga positif COVID-19 
Xherdan Shaqiri menjadi pemain Liverpool ketiga didapati positif COVID-19 sejak seminggu lalu.

Penyerang itu, yang masih kekal di Anfield sekalipun dikaitkan dengan Sevilla dan Lazio menjelang penutupan jendela perpindahan, sedang melaporkan diri bersama skuad Switzerland hari ini. 

Namun, Persatuan Bola Sepak Switzerland sebentar tadi mengumumkan Shaqiri diuji pandemik itu dan dia kini akan menjalani tempoh kuarantin. 

"Xherdan Shaqiri sah positif COVID-19. Selepas berunding dengan pihak kesihatan, dia sudah diasingkan," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu. 

"Langkah dan syarat perlindungan UEFA yang ketat buat pasukan kebangsaan dengan menepati 'Protokol Kembali Beraksi UEFA' telah diambil."

"Sehubungan itu, kami sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak kesihatan tempatan untuk langkah selanjutnya."

Oleh itu, Shaqiri bakal terlepas perlawanan persahabatan menentang Croatia sebelum bertemu Sepanyol dan Jerman dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL).

Dia muncul tonggak Liverpool ketiga yang dijangkiti virus itu sejak minggu lalu selepas Thiago Alcantara -- yang tiba dari Bayern Munich dalam jendela perpindahan lalu -- disahkan menghidap COVID-19 Selasa lalu.

Sadio Mane kemudian didapati positif pandemik itu Jumaat lalu -- antara punca Liverpool dibelasah kalah 2-7 oleh Aston Villa, semalam. 

Ketiga-tiga pemain itu bagaimanapun masih berpeluang bertemu Everton dalam pertembungan 'derby' Merseyside pada 17 Oktober depan sebaik selesai menjalani protokol kuarantin selama 10 hari.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen