BURNLEY 1 NEWCASTLE UNITED 2

Rafael Benitez berkata Newcastle United harus terus melayani setiap perlawanan "seperti aksi final" selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).


Sungguhpun berkemungkinan kehilangan khidmat Matt Ritchie untuk baki musim ini, Newcastle melonjak ke tangga ke-13 susulan jaringan sendiri oleh Ben Mee dan tandukan Ciaran Clark.

Newcastle membuat permulaan buruk musim ini tetapi kini boleh berasa positif meskipun Benitez akan memastikan pasukannya akan terus berpijak di bumi nyata.

"Bagi kami, setiap perlawanan adalah seperti aksi final," kata Benitez kepada BBC Sport.

"Kemenangan adalah mustahak kerana ia memberikan kami lebih keyakinan. Perjalanan musim ini masih panjang tetapi kami akan melakukannya dengan baik dan diharapkan kami dapat meneruskannya.

"Kami perlu menang dan bermain dengan baik. Pemain mengusahakannya dan mereka cukup menakjubkan daripada segi usaha, organisasi dan semangat berpasukan.

"Kami bekerja keras minggu ini untuk mengekang dua pemain utama Burnley dan barisan pemain telah beraksi dengan baik.

"Perkara utama bagi kami adalah memastikan kami boleh mendapatkan sesuatu daripada permainan ini. Kini kami mempunyai keyakinan dan pemain akan terus berusaha dan bekerja keras," katanya lagi.

Kekalahan keempat EPL di tempat sendiri musim ini menyebabkan Burnley berada satu mata di atas zon penyingkiran.

Tetapi, pengurus Burnley, Sean Dyche, berasakan pasukannya telah bermain dengan baik walaupun ketinggalan 0-2 dalam 23 minit pertama sambil tandukan penggempur, Sam Vokes, melewati palang tatkala The Clarets berpeluang untuk menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan.

"Terdapat jaringan yang malang dan sentuhan penyudah yang kurang baik," kata Dyche, yang menyaksikan pasukannya telah dibolosi 15 kali dalam lima perlawanan, kepada Sky Sports.

"Banyak aspek dalam perlawanan ini yang saya gemari -- kami menukar pendekatan dan kami mencipta peluang tetapi jurangnya terlalu kecil.

"Kami mungkin berhak meraih sesuatu tetapi adalah sukar apabila anda ketinggalan 0-2 dalam Liga Perdana. Mentaliti pemain sangat bagus tetapi jelas sekali saya sangat kecewa dengan keputusannya.

"Kami terpaksa mengatasi lima pemain pertahanan lawan dalam babak kedua. Terdapat detik kami tampil dengan sangat baik, jadi saya beranggapan kami sudah mula menemui rentak sebenar.

"Pasukan ini dalam proses menjadi semakin utuh. Kami mula kelihatan mampu mencapai keupayaan sebenar tetapi kami perlu berada di landasan yang tepat.

"Ia memerlukan kerja dan ketahanan mental -- kami memilikinya -- selain daya tahan. Kami perlu berjuang untuk segala yang kami capai setakat ini dan kami akan terus melakukannya," ujarnya.