MAN CITY 3 ASTON VILLA 0

Pep Guardiola memberi amaran bahawa Manchester City boleh melupakan sahaja niat untuk memintas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, jika mengulangi persembahan "penyingkiran" ketika menang 3-0 ke atas Aston Villa.


Skuad kendalian Guardiola itu berjaya mengurangkan defisit kepada tiga mata hasil jaringan daripada Raheem Sterling, David Silva dan Ilkay Gundogan di Stadium Etihad, semalam.

Liverpool, bagaimanapun, berpeluang untuk menggandakan kelebihan dengan mengatasi Tottenham di Anfield malam ini.

Tetapi Guardiola lebih bimbang mengenai persembahan pasukannya dalam separuh masa pertama berdepan Villa, di mana dia berasakan seperti pasukan yang sedang bersaing untuk mengelak penyingkiran berbanding mengejar gelaran.

"Enam hari lalu, kami ketinggalan lapan mata, kini hanya tiga. Tetapi mereka perlu berdepan Tottenham," katanya.

"Saya tidak bimbang mengenai carta liga, keutamaan saya adalah cara kami bermain.

"Jika tahap permainan kami seperti dalam separuh masa kedua, City akan meraih pulangan pada penghujung musim nanti.

"Jika kami bermain seperti persembahan separuh masa pertama, kami akan bergelut dan perlu berjuang untuk mengelak daripada penyingkiran. Itu pandangan saya.

"Permainan dalam separuh masa pertama amat mengecewakan."

Gabriel Jesus, yang mengetuai jentera serangan dalam kesebelasan utama City, berjaya melakukan flik selepas menerima hantaran Ederson untuk membuka jaringan.

Sergio Aguero menggantikan Sterling hingga tamat permainan untuk bergandingan bersama Jesus dan Guardiola menegaskan ia bukan satu masalah apabila melibatkan dua penyerang dalam sistem permainannya.

"Mereka berganding dengan baik. Ia bergantung kepada lawan dan corak permainan yang digunakan," katanya lagi.

"Jesus kadangkala turun beraksi di bahagian kiri ketika bersama skuad Brazil. Dia bukanlah pemain sayap seperti Bernardo Silva, Leroy Sane dan Riyad Mahrez tetapi mampu melakukan tugas tersebut dengan baik.

"Dia memiliki etika kerja yang menakjubkan. Corak larian dan pergerakannya sangat baik."