Bintang Liverpool, Sadio Mane, mendedahkan bahawa Ronaldinho menjadi inspirasi buat dirinya ekoran tertarik dengan gaya bersahaja dan penuh ceria pemain Brazil itu.

Pemain penyerang Senegal itu berpindah ke Liverpool dari Southampton dengan yuran perpindahan mencecah GBP34 juta, sekali gus menjadikan pemain berusia 24 tahun itu sebagai pemain Afrika termahal dalam sejarah.

Bagaimanapun, Mane tidak membiarkan yuran perpindahan tersebut membayangi dirinya, sebaliknya menegaskan dia menganggap dirinya sangat bertuah dapat beraksi bersama sebuah pasukan yang menjadi impian buat pemain lain.

"Ada yang berkata saya jarang senyum," katanya kepada laman sesawang Liverpool.

"Pada saya, itu tidak betul. Saya sentiasa tersenyum dan berkongsi ketawa ketika sesi latihan kerana saya sangat menikmati bola sepak.

"Itulah yang sering dilakukan Ronaldinho dan saya mahu menjadi seperti dia. Pada saya, pemain bola sepak mempunyai banyak sebab untuk senyum. Kami memiliki tugas yang menjadi impian ramai."

Dalam tempoh yang singkat, Mane telah berjaya mencapai keserasian di Anfield dan pemain itu meletakkan segala pujian terhadap sistem yang diterapkan pengendali, Jurgen Klopp.

"Sistem ini membuatkan semua pemain sedar akan peranan mereka," tambahnya. "Roberto Firmino, Coutinho, Sturrdige, Adam Lallana -- kami tahu corak permainan masing-masing."