Ole Gunnar Solskjaer berkata Mason Greenwood sedang menuai hasil kerja kerasnya dalam latihan selepas membantu Manchester United mencipta kemenangan 3-1 ke atas Burnley.

Pemain antarabangsa England itu menjaringkan dua gol dalam pertembungan di Old Trafford, sebentar tadi, walaupun lawan menyamakan kedudukan menerusi tandukan James Tarkowski.

Tetapi pemain gantian, Edinson Cavani, kembali melebarkan jurang dengan gol ketiga dalam masa kecederaan untuk United memahat kemenangan kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut.

Ini adalah perlawanan liga ketiga yang menyaksikan Greenwood dipertaruhkan untuk jaringan ke-15 musim ini, sekali gus menjadi penjaring remaja terbanyak di samping Wayne Rooney.

Gol pembukaannya disudahkan dengan tenang dan yang kedua pula menyaksikan produk akademi itu menyusup dari sayap kanan sebelum melepaskan rembatan yang terkena pemain lawan untuk menggegar gawang ketika permainan berbaki enam minit.





Solskjaer sangat senang dengan pendekatan tonggak mudanya itu yang kurang berbisa dalam permulaan kempen musim ini tetapi corak permainannya semakin matang.

"Saya sangat gembira untuknya. Dia mempelbagaikan permainannya. Dia menyusup ke dalam dan di luar kotak penalti, dia semakin matang. Sesuatu yang seronok untuk disaksikan," kata pengurus United itu kepada BBC Sport.

"Dia menunjukkan kerja keras dalam sesi latihan dan menuai hasilnya. Musim lalu dia masih muda, sekarang dia memasuki dua musim bersama skuad utama.

"Khususnya dalam tiga atau empat bulan terakhir ini, saya telah melihat kematangannya dalam latihan dan dia beraksi dengan matang dan memahami perlawanan.

"Dia sangat kreatif tetapi mempamerkan gaya sederhana ketika perlu."

Greenwood telah menjaringkan lebih banyak gol berbanding pemain sebayanya dalam lima liga teratas di Eropah sejak awal 2019-20, satu jaringan mengatasi Jadon Sancho dari Borussia Dortmund.

"Saya telah memusatkan perhatian. Saya tahu gol akan menjelma, perlu terus merendah diri dan saya mengambil peluang yang diberikan," kata pemain itu kepada Sky Sports.

"Saya gembira saya diberi peluang beraksi kerap. Ole mempercayai saya jadi saya melakukan yang terbaik di atas padang dan berusaha untuk membantu rakan sepasukan selain menyerlah di atas padang."

Ketika ditanya mengenai gerakan gol keduanya itu, itu menurutnya lagi: "Saya gemar melakukan gerakan masuk ke dalam (kotak penalti) seperti itu. Saya melakukannya musim lalu tetapi anda harus mempelbagaikannya agar pertahanan tidak mampu mengejar anda."