Mikel Arteta menyeru Arsenal usah terpinga-pinga dan perlu beraksi bebas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil berikrar menjadikan Stadium Emirates sebagai kubu kuat mereka -- bermula dengan pertembungan menentang Wolves, tengah malam Isnin ini.

The Gunners sekadar merekodkan sembilan gol musim ini, hanya sekali menggegarkan gawang dalam lima perlawanan terakhir -- menerusi sepakan penalti Pierre-Emerick Aubameyang untuk kemenangan di Manchester United.

Bagaimanapun, Arsenal tidak menghadapi masalah seperti itu dalam Liga Europa apabila sudah menjaringkan 10 gol dalam tiga perlawanan terakhir untuk mara ke pusingan 32.

Kelab London itu merakamkan kemenangan 3-0 di Molde semalam untuk kemenangan bersih selepas empat perlawanan, tetapi mereka terperosok di tangga ke-12 EPL menjelang pertemuan dengan Wolves di laman sendiri, awal pagi Isnin ini.





Pengurus berbangsa Sepanyol itu menuntut pasukannya memperagakan aksi menghiburkan dan kejam untuk mendaki kedudukan.

Dia berkata: "Selepas keputusan terakhir yang mengecewakan di kandang sendiri (kekalahan 0-3 kepada Aston Villa), kami harus menjadikan Emirates sebagai gelanggang keramat.

"Beraksi di tempat sendiri tanpa kehadiran peminat tidak akan sama tetapi itulah yang kami miliki saat ini. Kami pasti menang Ahad ini (awal pagi Isnin)."

Dia menambahkan: "Keputusan perlawanan dalam EPL amat sengit. Kami telah memberikan saingan hebat dalam semua perlawanan kecuali 20 minit terakhir ketika menentang Aston Villa.

"Kotak penalti akan menentukan apa yang kami mampu lakukan dalam permainan. Di kawasan lawan, penyudah kami tidak begitu tajam seperti yang diharapkan.

"Dalam Liga Europa, kami mendapat rentak, kreativiti mencurah-curah di depan pintu gol lawan. Saya menyeru anak buah supaya terus mengamalkannya dan mempamerkan kemampuan sendiri'. Mungkin ada harinya kami gagal menjelmakannya tetapi itu adalah sesuatu yang perlu dikaji.

"Kami berusaha mendorong mereka supaya beraksi dengan kebebasan, kami menggilirkan pemain atas pelbagai alasan -- sama ada kecederaan atau faktor persembahan.

"Ia juga berkaitan dengan pasukan utama yang perlu kami hadapi dalam sembilan perlawanan awal. Ia sesuatu yang harus kami perbaiki dan kami sedang berusaha untuk melakukannya."