Pengendali Arsenal, Arsene Wenger, menyifatkan Alexandre Lacazette berminat untuk memecahkan rekod, sama seperti penjaring gol yang lain.

Lacazette menjadi pemain pertama Arsenal dalam era Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menjaringkan gol dalam tiga perlawanan di laman sendiri selepas meledak dua gol ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas West Brom. Brian Marwood merupakan pemain terakhir yang melakukan sedemikian pada 1988.

Pemain kebangsaan Perancis itu menegaskan dia tidak mengejar rekod peribadi tetapi Wenger tidak bersetuju dengan mengatakan semua penyerang meletakkan sasaran tersebut.

"Saya berasakan setiap penyerang mahu mencipta nama," kata Wenger.

Lacazette memulakan musim pertama bersama Arsenal dengan cemerlang, dengan menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan setakat ini.

Wenger memuji penyerang itu kerana menemui jalan untuk menyesuaikan diri bersama kelab dan percaya kualiti Lacazette akan bertambah baik.

"Saya berasakan dia tidak segan beraksi di atas padang, menyesuaikan diri dengan baik dan bermain dengan gaya permainan Arsenal."