Pengurus West Ham, David Moyes, menjelaskan semangat merupakan kunci kejayaan mereka ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, semalam.

Kemenangan di Stadium London itu hadir menerusi jaringan tunggal Marko Arnautovic pada minit keenam dan ia merupakan kemenangan pertama Moyes sejak mengambil alih The Hammers.

West Ham mengalami kekalahan mengecewakan ketika bertemu Manchester City minggu lalu tetapi bangkit dan mencetak kemenangan pertama dalam tujuh perlawanan.

"Ia merupakan satu keputusan yang sangat baik buat kami," kata Moyes.

"Kami memerlukan kemenangan dan berjaya melakukannya. Pasukan hampir melakukan perkara yang sama ketika bertemu Manchester City dan hampir meraih mata daripada perlawanan tersebut.

"Tetapi ketika bertemu Chelsea, semangat pasukan dan usaha pemain-pemain untuk meraih keputusan ini amat menakjubkan. Kami telah bermain dengan cemerlang.

"Chelsea memberikan asakan kepada kami, Arnautovic telah menjaringkan gol yang sangat baik buat kami dan hampir mendapatkan gol kedua," katanya.

Penjaga gol, Adrian, yang kekal dalam kesebelasan utama selepas menggantikan tempat Joe Hart ketika tewas kepada City, mempamerkan aksi cemerlang buat The Hammers.

"Saya mempunyai dua penjaga gol yang berkualiti. Hart merupakan seorang yang profesional ketika memberitahu Adrian akan diturunkan sebagai pilihan utama."