Schneiderlin: Saya tinggalkan United terlalu cepat

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2019 15980
Schneiderlin: Saya tinggalkan United terlalu cepat
Morgan Schneiderlin percaya dia mungkin telah tergesa-gesa meninggalkan Manchester United untuk menyertai Everton kerana yakin masih banyak yang mampu diberikannya di Old Trafford.

Pemain kebangsaan Perancis itu hanya bersama United selama 14 bulan sebelum berpindah ke Goodison Park pada Januari 2017 dengan yuran pendahuluan £20 juta (RM107 juta).

Schneiderlin sekadar beraksi 14 minit dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2016-17 ketika United dibimbing Jose Mourinho, yang menggantikan Louis van Gaal.

Bagaimanapun, Schneiderlin tertanya-tanya mungkin dia harus terus kekal bersama United dan mendapatkan semula tempatnya, berbanding apa yang dilakukannya dengan berhijrah menyertai Everton.

Bercakap kepada BBC Radio 5 Live: "Saya mahu melakukan lebih lagi dan memiliki kapasiti untuk berbuat sedemikian. Mungkin saya terlalu cepat meninggalkan pasukan selepas tidak beraksi selama tiga bulan.

"Apabila melihat pemain-pemain lain yang memiliki karier yang cemerlang di Manchester United, mereka semua tidak beraksi selama empat atau lima bulan ketika direhatkan."

Schneiderlin, yang membintangi enam daripada sembilan aksi Everton dalam saingan EPL musim ini, percaya dirinya merupakan sasaran kritikan kerana corak permainannya.

"Jika anda seorang pemain tengah dan pasukan sedang ketinggalan 1-0, jika saya gagal membuat hantaran jauh, penonton mungkin bertepuk tangan kerana melihat ia sebagai satu taktikal menyerang, tetapi rakan sepasukan terpaksa berusaha sekali lagi untuk mendapatkan bola," katanya.

"Jika kami sedang mendahului 1-0 dan saya melakukan hantaran pendek, ia membenarkan pasukan untuk bernafas, orang melihatnya sebagai tindakan yang betul. Sesetengah pemain pula kurang senang dengan cara hantaran saya.

"Cuba lihat Sergio Busquets di Barcelona. Saya tidak membandingkan diri saya dengan dia tetapi kami menggunakan teknik yang hampir sama dan mengapa dia tidak dikritik? Ini kerana pasukan itu memenangi perlawanan dan semua berpandangan dia adalah pemain tengah paling bijak dalam bola sepak."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen