Morgan Schneiderlin menafikan laporan yang dia telah diarah meninggalkan latihan Everton pada hujung minggu lalu kerana masalah disiplin.

Pemain tengah Perancis itu bukan sebahagian daripada tonggak dalam skuad Toffees yang bangkit meraih kemenangan 3-2 ke atas Watford, Ahad lalu, untuk merakamkan kemenangan pertama kelab itu dalam sembilan perlawanan.

Terbit laporan yang mengaitkan Schneiderlin dan Kevin Mirallas telah diarah pulang oleh pemangku jurulatih, David Unsworth, dari padang latihan Everton di Finch Farm pada Sabtu lalu.

Mirallas juga dipinggirkan dalam perlawanan itu dan Schneiderlin tampil menafikan spekulasi mengenai kelakuannya.

"Saya telah membaca berita dalam akhbar hari ini mengenai saya 'yang diarah meninggalkan padang latihan'," katanya di Twitter.

"Itu tidak benar, saya komited sepenuhnya kepada Everton dan akan terus bekerja keras untuk kelab dan peminat, baik di dalam latihan mahupun di atas padang," ujarnya.