Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak berasa tertekan di sebalik reputasi pasukannya selaku pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sambil menyatakan bahawa dia tidak banyak memikirkan tentang sistem permainan dan formasi pasukan.

The Reds merupakan salah satu pasukan yang belum tewas dalam saingan liga walaupun terpaksa menelan dua kekalahan dalam Liga Juara-Juara Eropah serta satu dalam Piala Liga.

Ditanya mengenai reputasi pasukannya selaku pencabar dalam liga domestik dan peringkat Eropah, Klopp tidak berselindung untuk bersikap realistik.

"Saya tidak berasakan tekanan dan itu cara terbaik," katanya kepada Premier League Productions.

"Saya sudah membuat keputusan sejak dulu lagi. Saya akan memberikan yang terbaik dan tidak akan memandang ke belakang.

"Buat masa ini, saya boleh melakukannya dengan lebih baik. Itu adalah cara saya.

"Saya mengharapkan banyak perkara, namun itu tidak memberikan saya tekanan.

"Kami mahu memenangi setiap perlawanan dan jika tidak berjaya, kami mahu memenangi perlawanan seterusnya.

"Tentang apa yang pihak lain mahukan, saya tidak mahu memikirkannya kerana ia akan mempengaruhi perancangan saya.

"Selagi kami memenangi perlawanan, semua pihak akan menganggap saya seorang pengurus yang baik.

"Apabila kami tewas, mereka akan katakan saya bukan pengurus yang sesuai buat pasukan itu.

"Kalau anda dapat mengetahui lebih awal tentang konsep itu, anda tidak akan tertekan," tambahnya.

Klopp ditanya mengenai formasi 4-2-3-1 yang digunakannya ketika menewaskan Fulham, minggu lalu.

Liverpool tewas melalui formasi 4-3-3 kepada Red Star Belgrade dalam Liga Juara-Juara sebelum itu, namun Klopp memperjelaskan tentang sistem pemilihannya itu.

"Kami mengubahnya berdasarkan perlawanan.

"Ia bukan disebabkan sistem, sebaliknya lebih mengenai pemain.

"Tugas saya adalah untuk memberikan posisi terbaik buat setiap pemain.

"Jika saya mampu mengubah sistem, saya akan lakukan.

"Namun, itu bukanlah perkara terbaik buat kami kerana setiap pemain perlu bermain dengan naluri mereka," katanya lagi.