Saya tidak rasa dia hilang kawalan diri -- Emery

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2018 845
Saya tidak rasa dia hilang kawalan diri -- Emery
ARSENAL 2 BLACKPOOL 1

Pengurus Arsenal, Unai Emery, tidak peduli dengan  insiden kad merah melibatkan pemain tengahnya, Matteo Guendouzi, ketika menewaskan Blackpool 2-1 dalam saingan Piala EFL, awal pagi tadi, kerana tidak berasakan pemain muda itu hilang kawalan.


Arsenal menempah tempat ke pusingan suku akhir dan bakal bertemu seteru setempat mereka, Tottenham Hotspur, namun tiada aksi membanggakan di sebalik kejayaan itu.

Guendouzi menjadi pencetus kepada jaringan pembukaan The Gunners yang disudahkan Stephan Lichtsteiner sebelum pemain berusia 18 tahun, Emile Smith Rowe, menjaringkan gol pada permulaan babak kedua.

Pemain muda Perancis, Guendouzi, kemudian dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-56 selepas mengasari Jordan Thompson.

Ekoran itu, Paudie O'Connor menjaringkan gol buat Blackpool tidak lama selepas insiden tersebut, namun dia kemudian turut dibuang padang selepas mengasari Pierre-Emerick Aubameyang.

Layang kad merah ke atas Guendouzi menyaksikan dia bakal terlepas aksi penting menentang Liverpool, Sabtu ini, namun tiada apa yang menggusarkan Emery.

"Ini adalah bola sepak. Ia boleh menjadi sesuatu yang negatif atau positif seperti kecederaan, layangan kad merah, juga kerja keras selama 90 minit yang tidak membenarkan anda beraksi dalam perlawanan yang akan datang. 

"Kad merah memang sepeti itu," kata Emery kepada wartawan.

"Kami ada ramai pemain yang mahu bermain buat kami, membantu kami dan mengambil tanggungjawab mewakili pasukan.

"Dia mempunyai kualiti dalam pasukan dan saya akan mempersiapkan pemain lain bagi perlawanan yang besar.

"Dia bermain baik. Dia bermain dengan bersemangat. Dia mampu bersaing.

"Tindakannya itu satu tindakan biasa. Ia perkara biasa dalam sesebuah perlawanan.

"Dia menerjah dari belakang lawan. Dia bermain dengan semangat yang saya mahukan dalam setiap perlawanan.

"Kami sudah berbincang tentang kepentingan mengawal diri, namun saya tidak rasakan dia kehilangan kawalan.

"Kad merah itu adalah satu keadaan yang lain."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen