Mauricio Pochettino tidak tahu sama ada Tottenham telah membuat tawaran untuk menandatangani bekas pemainnya, Gareth Bale, daripada Real Madrid.

Semalam, Zinedine Zidane mendedahkan bahawa Madrid sedang berusaha untuk menjual pemain antarabangsa Wales berkenaan selepas mengetepikannya dalam skuad yang tewas 1-3 kepada Bayern Munich dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Amerika Syarikat.

Pengurus Madrid itu seolah-olah ingin menunjukkan bahawa kelab itu dalam rundingan dengan kelab tertentu, dengan berkata: "Kami sedang melaksanakan proses perpindahannya ke pasukan baru."

Laporan akhbar semalam mencadangkan Paris Saint-Germain (PSG) berminat dengan perjanjian pertukaran yang melibatkan Neymar manakala Pochettino, yang ditemui selepas kemenangan 3-2 dalam ICC ke atas Juventus, enggan menafikan seandainya pengerusi, Daniel Levy, ada mengemukakan tawaran untuk pemain berusia 30 tahun itu.

"Saya melihat laporan di media tetapi saya tidak tahu adakah pengurusan kelab akan cuba menandatanganinya," katanya kepada pemberita.

"Saya tidak mendapat apa-apa maklumat daripada pengerusi, saya tidak pasti sama ada kami atau kelab lain. Pengerusi yang memainkan peranan itu."

Harry Kane meledak gol menakjubkan dari tengah padang dalam masa kecederaan untuk skuad bimbingan Pochettino itu membuka kempen pra-musim mereka dengan kemenangan 3-2 ke atas Juventus di Singapura, malam tadi.