CRYSTAL PALACE 0 WOLVERHAMPTON WANDERERS 1

Pengurus Wolverhampton Wanderers, Nuno Esprito Santo, memuji aksi pertahanan kanannya, Matt Doherty, selepas pemain itu menjaringkan gol kemenangan yang menundukkan Crystal Palace 1-0 dalam aksi Liga Perdana malam tadi sambil menegaskan dia tidak kisah apa yang difikirkan ketua jurulatih Ireland, Martin O'Neill.


Doherty sebelum ini membuat tiga penampilan bersama Ireland dan akan sekali lagi dipanggil bagi menyertai aksi berdepan Denmark dan Wales dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah.

Penyokong Ireland sebelum ini menimbulkan persoalan bagaimana Doherty yang saban tahun menyerlah bersama Wolves kerap kali tidak mendapat panggilan kebangsaan, sekali gus menguatkan khabar angin melibatkan hubungan tegangnya dengan O'Neill.

Doherty sebelum ini menyatakan O'Neill mempersoalkan kebolehannya di bahagian pertahanan dengan menyatakan mungkin dia tidak sesuai dengan pendekatan ketua jurulatih tersebut yang mahukannya lebih banyak menyerang dari posisi itu.

Bagi Santo, dia gembira dengan prestasi pemain berusia 26 tahun itu selepas Doherty menjaringkan gol kemenangan Wolves menerusi satu gerakan bijak bersama penyerang, Raul Jimenez.

"Matt melakukannya dengan baik sejak musim lalu," kata Santo.

"Gayanya sewaktu di atas padang tidak pernah berubah. Dia bermain dengan baik. Apa yang pihak lain katakan atau mahukan bukan masalah saya.

"Apa yang saya dan pasukan mahukan daripadanya bukan sekadar menyerang tetapi peranannya di bahagian pertahanan dan situasi bola mati juga penting kerana dia adalah pemain yang penting buat kami," jelasnya lagi.

Rakan sejawat Santo di Crystal Palace, Roy Hodgson, enggan menyalahkan penjaga gol, Wayne Hennessey, ekoran kekalahan itu.

"Dia menyelamatkan keadaan dalam separuh masa pertama. Jika tidak, mereka mungkin memperoleh jaringan lebih awal.

"Berkenaan jaringan itu, bukan hanya penjaga gol harus dipersalahkan. Pertahanan juga melakukan kesilapan. Doherty mengambil peluang dengan baik," kata Hodgson.