Zlatan Ibrahimovic berkata dia sudah mengetahui bahawa dia akan 'menakluki dunia' selepas Persatuan Bola Sepak Sweden merancang untuk membina sebuah tugu peringatan untuknya di luar Friends Arena, Stockholm.

Penyerang Manchester United itu telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain terbaik dari Sweden, dengan memenangi gelaran liga di Belanda, Itali, Sepanyol dan Perancis.

Penyerang itu turut memiliki kenangan terindah bersama skuad kebangsaan selepas menjadi penjaring terbanyak Sweden dan mengambil keputusan untuk bersara daripada pentas antarabangsa selepas pasukannya tersingkir daripada Euro 2016.

"Saya datang dari Malmo, sebuah pekan kecil, dan saya akan mendapat sebuah tugu di ibu negara Sweden," jelas Ibrahimovic.

"Saya tidak menyangka perkara ini akan berlaku tetapi saya mengetahui bahawa saya akan 'menakluki dunia', itu adalah satu perkara yang pasti."