Saya sentiasa percayakan Fellaini -- Mourinho

Oleh Penulis Jemputan 1 Oktober 2017 2847
Saya sentiasa percayakan Fellaini -- Mourinho
MANCHESTER UNITED 4 CRYSTAL PALACE 0

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menegaskan beliau sentiasa meletakkan kepercayaan kepada Marouane Fellaini selepas pemain tengah itu mempamerkan permulaan yang baik musim ini dengan menjaringkan dua gol ke atas Crystal Palace.


Skuad bimbingan Mourinho itu selesa meraih kemenangan 4-0 di Old Trafford semalam, dengan pemain kebangsaan Belgium itu menjaringkan dua gol berdepan Palace yang dikendalikan oleh Roy Hogdson.

Juan Mata dan Romelu Lukaku menambah jaringan untuk United bagi menyaksikan mereka melakar kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua kejohanan, dan Fellaini kini telah menjaringkan empat gol setakat ini.

Impak Fellaini hadir selepas Paul Pogba terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan hamstring dan Mourinho memberikan pujian kepada pemain berusia 29 tahun itu.

"Saya sentiasa meletakkan kepercayaan kepada Fellaini dari hari pertama lagi," kata Mourinho.

"Saya cuba memberikan keyakinan kepadanya dan menunjukkan bahawa betapa pentingnya dirinya dalam pasukan saya.

"Fellaini bermain dengan baik -- tetapi dia telah melakukannya buat tempoh yang agak lama.

"Dia seorang pemain yang berkeyakinan, gembira dapat memberikan sesuatu kepada pasukan. Gaya permainan pasukan memberikan ruang kepada pemain sepertinya untuk melakukan percubaan. Saya sangat gembira untuk Fellaini," katanya lagi.

Mourinho, yang membuat lima pertukaran dalam kesebelasan utama selepas meraih kemenangan ke atas CSKA Moscow, menjelaskan, "Saya dapat melihat perbezaan di antara Henrikh Mkhitaryan dan Fellaini. 

"Di Russia, Mkhitarayan beraksi manakala Fellaini tidak. Palace memiliki masa selama seminggu untuk membuat persiapan. Kami perlu menghadapi saingan di Russia dan saya perlu membuat beberapa pertukaran.

"Setiap pemain mahu beraksi. Semangat dan mentaliti yang dimiliki mereka sangat baik dan ia membenarkan saya untuk membuat pemilihan yang tepat.

"Tiga mata dan persembahan yang cemerlang. Kami cuba menggunakan banyak pemain dan paling penting adalah kami berjaya meraih kemenangan," hujahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen