Vincent Kompany mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Manchester City selepas mendedahkan rasa cintanya terhadap kelab yang dipercayainya terbaik di dunia itu sebelum mencampakkan mikrofon sebagai tanda simbolik ketika perarakan trofi.

Kompany dan City mengumumkan semalam bahawa pemain Belgium itu akan meninggalkan kelab selepas 11 tahun untuk kembali ke Anderlecht selaku pemain dan pengurus.

Bek tengah itu menikmati kejayaan di City, menjulang empat trofi Liga Perdana Inggeris serta Piala EFL. Dia juga merupakan pemenang dua kali Piala FA selepas kemenangan 6-0 ke atas Watford di Wembley kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan City meraih kemenangan 'treble' domestik musim ini selepas menjuarai liga dan Piala EFL, yang memberikan ruang untuk Kompany meninggalkan pasukan dengan pengakhiran hebat.

City melalui jalan-jalan di Manchester semalam menggunakan bas tidak berbumbung bersama tiga trofi utama dan Perisai Komuniti untuk Kompany mengucapkan selamat tinggal kepada peminat.

"Saya mahu melakukan perkara ini sepanjang hidup. Anda adalah kelab terbaik di dunia, saya tidak kira sama ada anda menjulang trofi Liga Juara-Juara atau tidak," katanya.

"Anda merupakan kelab terbaik di dunia dan jangan lupakannya sampai bila-bila. Semua pemain berhak menerima kasih sayang anda setiap minggu, hari sepanjang tahun kerana bekerja keras."

"Ini cara untuk saya meninggalkan pasukan, saya sayangkan anda dan saya pergi," ujar Kompany sebelum mencampakkan mikrofon.

Selepas ucapan itu, penyanyi yang merupakan peminat City, Noel Gallagher, mengucapkan terima kasih kepada Kompany menerusi skrin layar besar sebelum memainkan lagu "Wonderwall" sebagai penghormatan kepada bintang Belgium itu bersama peminat serta seluruh skuad City.