Saya hampir bawa Xhaka ke City -- Arteta

Oleh Staff Writer 26 Disember 2019 951
Saya hampir bawa Xhaka ke City -- Arteta
Ketua jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, mendedahkan dia mahu mendapatkan khidmat Granit Xhaka bersama Manchester City pada 2016.

Xhaka mula dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Arsenal selepas musim yang mengecewakan di London, yang menyaksikan pemain tengah itu dilucutkan jawatan kapten sewaktu di bawah kendalian Unai Emery selepas bertindak berang ketika digantikan dalam perlawanan bertemu Crystal Palace, Oktober, lalu.

Selepas kehilangan kepercayaan penoyokong Arsenal, bekas bintang Borussia Monchengladbach, Xhaka, sudah menemui jalan untuk keluar dengan menyertai Hertha Berlin.

Arteta tidak berniat untuk berpisah dengan Xhaka, yang merupakan sasaran Pep Guardiola dan City sebelum pemain kebangsaan Switzerland memilih untuk ke Arsenal.

"Ketika saya meninggalkan Arsenal untuk menyertai City bagi memulakan tugas menjadi jurulatih, kami memerlukan pemain tengah dan Xhaka merupakan antara dalam senarai saya," katanya.

"Saya menggemari kemampuannya dan saya sangat gembira apabila dia menyertai Arsenal.

"Dia telah melakukan beberapa perkara yang penting untuk pasukan dan kekal bersama pasukan ketika menghadapi kesukaran. Saya berasakan dia telah lama memendam dan akhirnya melepaskan kemarahannya.

"Tetapi saya sangat kagum bagaimana hubungan ini dapat dipulihkan dan penyokong mula memberikan sambutan yang positif terhadapnya dan saya berasakan kami berada di landasan yang terbaik buat Xhaka.

"Saya memberitahunya bahawa saya sangat meminati cara permainannya. Dia seorang pemain yang penting buat Arsenal. Saya di sini akan berusaha membantunya."

Arteta bakal mengendalikan perlawanan pertamanya sejak mengambil alih tugas Emery ketika Arsenal berkunjung ke Bournemouth hari ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen