Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho, sedih apabila pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger, mendakwa mendengar ejekan perkauman ketika Spurs tewas di laman sendiri dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Son Heung-min dan Rudiger terlibat dengan satu insiden dalam babak kedua perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur itu sehingga pemain kebangsaan Korea Selatan itu bertindak untuk menendang dada Rudiger.

Tidak lama selepas itu, seperti yang disahkan oleh Cesar Azpilicueta selepas perlawanan, Rudiger melaporkan kepada kaptennya itu bahawa dia mendengar ejekan berbentuk perkauman.

Pengurus Chelsea, Frank Lampard, turut mengesahkan kedua-dua pemainnya itu telah melaporkan insiden berkenaan kepada pegawai Liga Perdana selepas tamat perlawanan manakala Spurs juga sudah memulakan penyiasatan mereka.

Dan Mourinho kecewa dengan apa yang berlaku itu.

"Saya sedang dalam perlawanan, saya fokus terhadap perlawanan, saya terlalu jauh daripada insiden itu," katanya ketika ditanya sama ada dia mendengar ejekan itu atau tidak.

"Saya tidak dapat mengulas banyak melainkan ia sesuatu yang menyedihkan saya.

"Saya benci sikap perkauman dalam masyarakat, Saya benci sikap perkauman dalam bola sepak.

"Saya kecewa kerana perkara seperti itu masih berlaku tetapi pengadil menghentikan perlawanan.

"Dia berbincang dengan pemain, dia berbincang dengan kapten, dia berbincang dengan jurulatih.

"Saya sedang ketinggalan, saya tidak mahu perlawanan dihentikan tetapi selepas saya mengetahui sebabnya, saya amat memahami dan menerimanya.

"Kelab ini amat menyedari situasi seperti itu dan kelab ini juga akan cuba menghapuskannya (sikap perkauman)," katanya.