Didier Drogba memilih bekas rakan sepasukan di Chelsea, Frank Lampard, sebagai salah seorang individu yang memainkan pengaruh terbesar dalam kerjayanya.

Drogba beraksi bersama-sama Lampard selama lapan tahun di Stamford Bridge dengan kemuncak kejayaan mereka adalah menikmati gelaran Liga Juara-Juara (UCL) pada 2012.

Gandingan mereka mencipta 36 jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang masih merupakan angka gabungan tertinggi untuk jaringan dan bantuan gol di antara dua pemain.

Bercakap dalam majlis dengan penyokong Yokohama di Tokyo, bekas ketua pasukan Ivory Coast berkenaan menghamburkan pujian tinggi terhadap bekas rakan sepasukannya itu.

"Ada seorang (pemain) yang saya akan letakkan lebih istimewa daripada yang lain kerana kebanyakan gol saya berasal daripada umpanannya, orangnya adalah Frank Lampard," kata Drogba.

"Oleh kerana kami membuat latihan tambahan bersama-sama selepas sesi latihan pada setiap hari, kami berlatih gerakan tertentu sehingga ia menjadi mudah.

"Jadi, kami cuba membuat sesuatu yang baru dalam latihan dan itulah caranya kami terus maju dan saling mencabar di antara satu sama lain untuk menjaringkan gol, menghasilkan bantuan jaringan serta peluang untuk saya menimba banyak ilmu daripadanya," tambahnya.

Bermain untuk Phoenix Rising dalam Kejohanan USL, pemain berusia 40 tahun itu mengumumkan persaraannya daripada pentas bola sepak minggu lalu.