Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, akan mengambil pendekatan yang sama seperti yang dilakukan mentornya, Alex Ferguson, dalam menangani bintang pasukan yang enggan bekerja keras.

Bekas penyerang United itu mula mengubah cara yang dilakukan bekas pengurus, Jose Mourinho, dengan mengambil pendekatan yang lebih mesra media.

Solskjaer, 45, kerap kali mengulangi tentang pengaruh yang dibawa Ferguson dalam karier pengurusannya dan mahu menerapkan pendekatan disiplin yang sama.

"Setiap pengurus mempunyai pendekatan berbeza dan beliau (Ferguson) memiliki pendekatan tersendiri.

"Mungkin saya patut mengeluarkan pengering rambut daripada saku kerana saya memiliki pengering rambut!" katanya dalam nada bergurau ketika memperingati nama samaran dan amukan yang sering dilakukan bekas pengurus legenda United itu.

"Apabila saya mahu mengeringkan rambut, saya akan menggunakannya.

"Seperti bersama anak-anak, apabila mereka melakukan kesalahan, saya akan menegur mereka dan bukannya memberikan mereka coklat.

"Ia pendekatan yang sama ketika berdepan pemain kerana saya mahu mengeluarkan yang terbaik daripada mereka.

"Saya mahu membimbing mereka. Saya mahu menolong mereka.

"Namun, jika saya kecewa, tanyalah kepada pemain-pemain yang saya bimbing di Molde dahulu tentang apa yang saya mampu lakukan.

"Kami perlu keluar dan membuktikan standard pasukan ini kepada masyarakat," katanya.

Penyingkiran Mourinho membuktikan dakwaan kuasa pemain yang berlaku dalam pasukan itu sejak era David Moyes dan Louis van Gaal.

Solskjaer, bagaimanapun, berasakan dia memiliki formula terbaik untuk menangani setiap pemain seperti yang Ferguson lakukan.

"Saya tidak pasti sama ada kuasa mutlak itu telah beralih ke bilik persalinan.

"Bola sepak sentiasa berkembang dan penggantinya (Ferguson) perlu bertanggungjawab ke atas keseluruhan pasukan.

"Bola sepak sedang berkembang, struktur kelab telah berubah, namun kekuatannya tetap berada di tangan pengurus.

"Dia akan memilih pemain, memilih taktik, strategi, dan falsafah permainan.

"Legasi pasukan ini lebih penting daripada mana-mana pemain.

"Saya perlu katakan perkara ini, menjadi sebahagian daripada pasukan ini merupakan satu penghormatan.

"Setiap pemain pasti mahukan kejayaan bersama pasukan ini," tambahnya.