Maurizio Sarri menegaskan tumpuannya adalah meraih tiga mata ketika berdepan Crystal Palace esok berbanding menyamai rekod 24 tahun Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sarri masih belum tewas sejak berhijrah ke Stamford Bridge daripada Napoli, dengan memenangi tujuh perlawanan dan tiga seri dalam saingan EPL setakat ini.

Rekod tanpa kalah sejak musim bermula disandang oleh Frank Clark selepas membimbing Nottingham Forest mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah sejak permulaan musim 1994-95.

Menyamai rekod tersebut tidak berada dalam fikiran Sarri menjelang pertemuan dengan The Eagles kerana mahu meletakkan fokus untuk terus merapatkan kedudukan dengan Manchester City dan Liverpool.

"Saya tidak mahu berfikir mengenai rekod, kami hanya perlu mengutamakan kemenangan dan meraih mata dalam perlawanan seterusnya," katanya.

"Rekod adalah hasil daripada keputusan perlawanan. Saya telah memberitahu setiap pemain bahawa perkara yang paling penting adalah perlawanan seterusnya."

Salah seorang yang menyerlah di bawah pimpinan Sarri setakat ini adalah Ross Barkley, pemain tengah yang berusaha untuk berada dalam kesebelasan utama Chelsea dan skuad England bimbingan Gareth Southgate.

Sarri memuji pemain berusia 24 tahun itu di atas persembahan yang dipamerkan bersama The Blues.

"Dia memiliki kemahiran teknikal yang tinggi. Persembahannya semakin baik selepas pulih daripada kecederaan. Barkley adalah seorang pemain yang penting untuk pasukan," katanya.

Barkley merupakan saingan utama buat Ruben Loftus-Cheek bagi merebut kesebelasan utama Chelsea tetapi pengurus itu berkata produk akademi tu perlu melakukan lebih lagi untuk meraih peluang beraksi.

"Loftus-Cheek mempamerkan peningkatan tetapi dia perlu melakukan lebih lagi menurut sudut taktikal.

"Secara fizikal, dia sudah bersedia -- pantas, tegap dan memiliki perwatakan yang baik.

"Tetapi dia perlu meningkatkan permainannya daripada segi bertahan."