Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, akan menggunakan Eden Hazard sebagai penyerang tengah pada masa depan selepas bintang itu mempamerkan aksi mengagumkan ketika menggalas peranan itu sewaktu berdepan Manchester City.

Pemain antarabangsa Belgium itu mencipta gerakan untuk gol yang diledakkan N'Golo Kante dan David Luiz untuk Chelsea meranapkan rekod tanpa kalah City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan kemenangan 2-0, awal pagi tadi.

Sarri bersikap terbuka untuk menggunakan sentuhan pemain berusia 27 tahun itu, yang sudah menyumbat tujuh gol dan lapan bantuan gol dalam 15 perlawanan liga musim ini, untuk memikul peranan yang sama pada masa depan.

"Dia berdepan beberapa masalah pada awal permainan, namun saya fikir dia telah bermain dengan cukup baik dalam separuh masa kedua, mungkin dia layak merakamkan jaringan," katanya.

"Saya fikir ia adalah pilihan yang sangat baik. Sudah tentu kami akan menampilkan permainan seperti hari ini untuk beberapa perlawanan akan datang," katanya.

Pendekatan berbeza Sarri itu bermakna Alvaro Morata disisihkan daripada skuad itu sambil Olivier Giroud memulakan aksi di bangku simpanan.

Tambah pengurus dari Itali itu, ia adalah keputusan taktikal semata-mata kerana dia melihat tiada sebab untuk mempunyai dua penyerang dalam kalangan penggantinya.

"Sebabnya cukup jelas, kami menurunkan Hazard sebagai penyerang, jadi jika kami perlu mengubah sesuatu, kami ada Giroud," kata Sarri.

"Saya fikir ia adalah tidak berguna untuk memiliki dua penyerang di bangku simpanan dan saya lebih suka mempunyai lebih banyak pemain tengah.

"Saya menghadapi masalah dengan pemain sayap. Satu-satunya pilihan yang ada adalah Loftus (Ruben Loftus-Cheek). Saya lebih cenderung dengan kaedah ini."

Chelsea berada di tangga keempat EPL selepas kemenangan itu, lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool.