Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, menolak untuk bercakap mengenai spekulasi mengaitkan pasukannya dengan bintang Borussia Dortmund, Christian Pulisic, dan percaya tindakan berbincang mengenai pemain pasukan lain adalah sesuatu yang tidak profesional.

Laporan media mengatakan bahawa Chelsea sedang dalam perbincangan untuk membawa masuk pemain Amerika Syarikat itu menerusi perpindahan bernilai GBP70 juta (RM369 juta).

Khabar angin juga mendedahka Chelsea telah melakukan bidaan lebih rendah berbanding harga yang diminta Dortmund tatkala Pulisic lebih cenderung untuk ke Liverpool.

Bagaimanapun, Sarri tidak mahu bercakap tentang spekulasi itu sambil menegaskan ia tindakan tidak sopan.

"Pulisic adalah pemain Dortmund dan saya tidak mahu bercakap tentang pemain pasukan lain," kata Sarri.

"Bagi saya, ia tidak profesional."

Dalam masa sama, Alvaro Morata dikatakan bakal menuju jalan keluar dari Stamford Bridge selepas melalui tempoh tidak memberangsangkan bagi tahun 2018.

Namun, Sarri mahu melakukan apa sahaja untuk membantu penggempur Sepanyol itu.

"Saya perlu faham apa yang dia perlukan tetapi saya tidak boleh lakukan segalanya," tambah Sarri.

"Saya rasa Morata beraksi baik dalam bulan lalu. Dia menyumbat lima gol dan hanya perlukan konsistensi.

"Dia juga perlukan keyakinan demi keyakinan, jadi saya rasa kami hanya perlu terus menyumbat gol.

"Kini dia berusia 26 tahun. Dia boleh berubah tetapi perwatakan itu adalah dirinya yang sebenar. Jadi, dia hanya perlu bersabar kerana dalam perlawanan terakhir, dia terlepas peluang menghasilkan jaringan disebabkan terlalu menginginkannya."