CHELSEA 0 LEICESTER CITY 1

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, kecewa dengan reaksi yang ditunjukkan pasukannya ketika tewas 0-1 kepada Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris, malam tadi.


Chelsea tewas di Stamdford Bridge buat kali pertama sejak Sarri mengambil alih pasukan.

Ia hanya disebabkan satu serangan balas pantas yang disudahkan Jamie Vardy pada minit ke-51.

Chelsea berpeluang untuk menyamakan kedudukan, namun percubaan Eden Hazard dan Marcos Alonso sekadar menggegar palang gol lawan.

Sarri jelas terlalu kecewa dengan situasi itu sehingga ada ketika dia kelihatan mencampakkan jaketnya ke lantai.

"Saya terlalu marah," kata Sarri mengenai tindakannya melempar jaket.

"Kami bermain amat baik sepanjang 55 minit pertama.

"Selepas ketinggalan, kami memberikan reaksi yang aneh.

"Ia bukan ke arah yang sepatutnya kami lakukan.

"11 pemain di atas padang itu seperti bukan pemain kami

"Ia amat aneh.

"Kami sepatutnya memberikan reaksi yang lebih baik.

"Kami hanya perlu mengekalkan prestasi seperti dalam separuh masa pertama.

"Kami perlu menjaringkan gol tanpa perlu ada perasaan terkejut akibat dibolosi.

"Pasukan saya mengalami kekeliruan mental," katanya lagi.

Kekalahan itu merupakan yang ketiga dalam enam perlawanan liga terakhir Chelsea.

Ditanya mengenai permasalahan yang dialami pasukannya ketika ini, Sarri menjawab: "Saya tidak tahu.

"Jika saya tahu, sudah pasti saya akan menyelesaikannya sebelum perlawanan.

"Kami mempunyai ramai pemain berpengalaman.

"Ia amat sukar untuk difahami."

Chelsea ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Bagi Sari, mencabar kejuaraan liga bukan sasaran realistik dalam musim pertamanya bersama Chelsea.

"Sejak dari awal lagi saya sudah katakan, ia sasaran yang mustahil untuk dicapai.

"Saya sudah katakannya sejak Julai lalu," tambahnya.