CHELSEA 2 FULHAM 0

Pengurus Chelsea, Maurizio Saari, memuji persembahan N'golo Kante ketika pasukannya itu kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan seteru London, Fulham, 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.


Sarri sebelum ini mengkritik pemain tengah yang pernah menjulang dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris itu, namun menyenaraikan Kante dalam kesebelasan utama di Stamford Bridge.

Bekas pengendali Napoli itu mendakwa Kante secara teknikal tidak cukup bagus untuk berada dalam sistem pasukannya.

Namun, dengan beraksi di samping Jorginho dan Mateo Kovacic di jentera tengah Chelsea, Kante menjadi pencetus kepada kemenangan 2-0 The Blues ke atas Fulham sebagai respons kepada kekalahan 1-3 di tangan Tottenham Hotspur, minggu lalu.

Kante bijak melepasi kawalan Jean-Michael Seri dan menghasilkan lorongan kepada Pedro di bahagain kanan padang sebelum pemain Sepanyol itu menewaskan Alfie Mawson dan menyumbat gol pembukaan tuan rumah, pada minit keempat.

Ditanya mengenai prestasi Kante dalam sidang media pasca-perlawanan, Sarri menjawab: "Saya berasakan dia bermain dengan baik. Dia mampu bertahan dengan baik. Terdapat sedikit kekurangan daripada segi taktikal yang perlu diperbaiki, namun ia perkara normal.

"Dalam pasukan kebangsaan Perancis, dia selalunya akan bermain dengan dua pemain tengah yang lain. Musim lalu pula, adakalanya kami hanya menggunakan dua pemain tengah.

"Ia perkara yang normal untuk dia meningkatkan prestasi."

Mengenai posisi Kante dalam pasukan, Sarri menambah: "Hari ini dia beraksi lebih baik di bahagian serangan.

"Hanya satu kesilapan yang dilakukannya dalam separuh masa pertama.

"Dia perlu bermain terlalu rapat dengan Jorginho. Jika tidak, ia pasti akan mendatangkan masalah besar buat kami.

"Jorginho mampu mematahkan hantaran lawan, namun tidak cukup kuat untuk membuka ruang."

Ruben Loftus-Cheek memastikan kemenangan Chelsea selepas menghasilkan penyudah menakjubkan hasil bantuan Pedro dan Eden Hazard.

Pemain tengah England itu telah menjaringkan lima gol daripada enam penampilan terakhirnya bersama Chelsea.

"Dalam tempoh tiga minggu ini, dia banyak menyelesaikan masalah saya.

"Dalam Liga Europa, dia memaparkan aksi terbaik daripada aspek taktikal.

"Saya memasukkannya tanpa sebarang masalah dan dia membalasnya menerusi aksi yang meyakinkan," tambahnya.