Maurizio Sarri berharap agar Chelsea dapat mencapai persetujuan dengan Cesc Fabregas dan David Luiz mengenai kontrak baru tatkala mereka berdepan risiko bakal terlepas khidmat kedua-dua pemain itu secara percuma di penghujung musim ini.

Luiz kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah bimbingan Sarri setelah hanya tampil 10 kali dalam aksi liga sewaktu The Blues dikendalikan oleh Antonio Conte musim lalu.

Namun, situasi berbeza dilalui Fabregas yang hanya beraksi 32 kali bagi musim 2017/18 apabila hanya tampil dalam tiga perlawanan sejak ketibaan Sarri.

Kontrak kedua-dua pemain itu bakal memasuki enam bulan terakhir, yang bermaksud mereka bebas untuk berbincang dengan pasukan lain bagi melengkapkan perpindahan secara percuma di penghujung musim.

Sewaktu bercakap dalam sidang media semalam, Sarri mendedahkan dia mahu kedua-dua pemain itu kekal di Stamford Bridge dan yakin penyelesaian boleh dicapai walaupun Luiz dan Fabregas meminta tempoh kontrak lebih lama berbanding apa yang ditawarkan The Blues.

"Saya bercakap dengan kelab sebulan lalu mengenai perkara ini," kata Sarri.

"Saya tahu ia tidak mudah tetapi saya rasa kami boleh menawarkan kontrak baru buat kedua-duanya.

"Mereka merupakan pemain penting pasukan dan dalam erti kata lain, sukar mencari bek tengah di peringkat ini dan tidak mudah untuk memiliki pemain tengah yang berkemampuan secara teknikal seperti Fabregas. Jadi, saya rasa mereka perlu kekal dengan kami.

"Persetujuan menjadi sukar disebabkan usia mereka. Saya rasa kelab mahu memberikan kontrak pendek dan mereka pula bersedia dengan tempoh lebih lama.

"Jadi, ia menjadi sukar tetapi di pengakhirannya, saya rasa kami mampu mencapai kata sepakat.

"Saya rasa Luiz dan Fabregas adalah ketua dan sangat penting untuk saya, staf pasukan serta rakan sepasukan melihat mereka kekal.

"Saya tahu sukar untuk mendapatkan perjanjian baru. Masalah yang berlaku adalah Chelsea hanya menyediakan kontrak baru selama setahun, dua tahun atau tiga tahun. Namun, saya rasa kelab mampu mencapai persetujuan."

Pemain lain yang dikaitkan dengan jalan keluar daripada Chelsea adalah Ruben Loftus-Cheek tetapi Sarri menegaskan pemain tengah itu tidak akan berpindah Januari ini.

"Dia bermain dalam beberapa perlawanan Liga Europa dan Piala Liga. Loftus-Cheek juga tampil dalam lima atau enam aksi Liga Perdana Inggeris walaupun bukan dalam kesebelasan utama," tambah Sarri.

"Ketika ini, dia sangat penting buat kami. Dia berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan apa yang saya minta tetapi kini semakin meningkat. Dalam dua aksi terakhir, saya gembira dengannya.

"Saya mahu Loftus-Cheek kekal bersama saya dan kami. Jadi, dia tidak akan berpindah."