Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, berharap agar pasukannya dapat meyakinkan Eden Hazard untuk mengikut jejak langkah N'Golo Kante menandatangani kontrak jangka panjang.

Kante mempamerkan komitmen penuh bersama Chelsea apabila bersetuju dengan kontrak sehingga 2023 semalam tetapi kontrak Hazard bakal tamat pada 2020.

Bintang Belgium itu mendedahkan dia terbuka untuk kekal di Stamford Bridge tetapi tidak menyembunyikan keinginan untuk mewakili Real Madrid.

Sarri tidak pasti sejauh mana perkembangan perbincangan itu tetapi yakin mengenai peluang Chelsea untuk mengekalkan Hazard.

"Saya tidak tahu mengenai perkembangan kontrak itu," kata Sarri.

"Dia melakukannya dengan baik, beraksi buat pasukan kebangsaan Ahad lalu dan juga kami pada Selasa.

"Saya tidak pasti mengenai perkembangan perbincangan itu tetapi yakin Chelsea mampu melakukannya."

Kontrak baru Kante dilaporkan membuatkannya muncul pemain yang menerima bayaran tertinggi dalam sejarah Chelsea.

Pemain tengah Perancis itu merupakan seorang yang pemalu tetapi rakan sepasukannya, David Luiz, mendedahkan kepada laman web kelab minggu ini bahawa Kante cuba mengelak daripada membayar bil ketika singgah ke restorannya.

"Kante bukan sahaja pemain penting tetapi dia juga ditakdirkan untuk bersama kami," tambah Sarri.

"Saya sangat gembira dengan kontrak baru dan teruja untuknya. Ia satu berita penting buat kami.

"Saya tahu mengenai kisah yang diceritakan Luiz tetapi dia adalah pemain profesional di atas padang.

"Dia sangat penting dalam fasa pertahanan tetapi semakin meningkat secara menyerang. Dia mampu meningkat dalam 25 meter terakhir dan menyumbat lebih banyak gol."