Sarri gusar dengan kecederaan pemain

Oleh Penulis Jemputan 31 Disember 2018 1
Sarri gusar dengan kecederaan pemain
CRYSTAL PALACE 0 CHELSEA 1

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, berasakan nasib tidak menyebelahi pasukannya selepas penyerang utama, Olivier Giroud, mengalami kecederaan ketika mereka menewaskan Crystal Palace 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.


Giroud terseliuh buku lali ketika cuba menjaringkan gol walaupun berada dalam kedudukan ofsaid.

Dia terpaksa digantikan dengan Alvaro Morata pada minit ke-76.

Selepas memastikan kelebihan lima mata ke atas Arsenal dan menduduki tangga keempat liga, Sarri mendedahkan Cesc Fabregas, Ruben Loftus-Cheek dan Danny Drinkwater turut tercedera menjelang perlawanan di Selhurst Park itu.

"Giroud mengalami kecederaan buku lali.

"Kami perlu memeriksa keadaannya esok.

"Beberapa hari sebelum ini, kami tidak bernasib baik.

"Kami berdepan tiga kecederaan pemain sebelum perlawanan yang melibatkan Fabregas, Loftus-Cheek dan Drinkwater.

"Kini, Giroud pula tercedera manakala Pedro dan Callum Hudson-Odoi masih belum pulih sepenuhnya," katanya.

Gol kemenangan Chelsea diperoleh menerusi N'Golo Kante yang mengawal kemas hantaran David Luiz pada minit ke-51.

Ia merupakan gol ketiga pemain tengah kebangsaan Perancis itu dan Sarri memuji aksi Kante di Selhurst Park.

"Kante sedang meningkat naik, terutama ketika pergerakan tanpa bola.

"Dia memaparkan gerakan yang amat baik dan menjaringkan gol pada waktu yang tepat.

"Ia amat penting ketika kami berdepan pasukan yang bermain secara terbuka.

"Kami berdepan lawan yang amat berbahaya.

"Kami mengawal permainan selama 85 minit, namun tidak dapat menamatkannya lebih awal.

"Amat sukar untuk bertahan pada lima minit terakhir perlawanan.

"Kami memaparkan aksi lebih baik dalam babak kedua dengan penguasaan bola yang lebih pantas," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen