Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, berpendapat pasukannya mempunyai masalah mental dalam pendekatan menuju perlawanan.

Sarri. yang masih belum tewas sejak menggantikan tempat Antonio Conte, mencipta rekod baru dalam Liga Perdana Inggeris menerusi catatan paling lama tanpa kalah buat seorang jurulatih baru.

The Blues kini empat mata di belakang pendahulu, Manchester City, tetapi sedikit bergelut apabila diikat seri 0-0 oleh Everton dalam aksi terakhir liga selepas menewaskan BATE 1-0 bagi saingan Liga Europa.

Sarri berasakan bahawa jika Chelsea mahu merapatkan jurang dengan City, mereka harus memperbaiki isu dengan persiapan mental.

"Saya rasa ia adalah masalah mental. Dalam tiga aksi terakhir, kami mempunyai masalah dengan pendekatan terhadap perlawanan," ujar Sarri.

"Kami harus berhati-hati dan fokus terhadap masalah ini. Sudah tentu ia bukan masalah fizikal. Kami berdepan kesukaran apabila memasuki padang. Ia bukan masalah taktikal.

"Dalam 15 minit pertama bagi ketiga-tiga perlawanan, lawan lebih agresif dan berkeinginan berbanding kami. Kami harus menggunakan pendekatan berbeza," ujarnya.

Sarri sebelum ini berulang kali menafikan peluang kejuaraan liga buat Chelsea dan menjangkakan cabaran sukar bagi merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah dalam musim pertamanya.

"Saya rasa terdapat pasukan di atas, iaitu City, kemudian wujud pasukan yang sangat bagus, Liverpool. Sudah tentu Liverpool akan berada di kedudukan pertama," tambahnya.

"Empat atau lima pasukan akan berebut tempat ke Liga Juara-Juara, iaitu Arsenal, Tottenham Hotspur, Manchester United dan pasukan lain. Kebiasaannya akan wujud kejutan.

"Bagi saya, City lebih kuat berbanding kami ketika ini dan Chelsea perlu bekerja lebih keras untuk memperbaiki jurang itu. Namun, ketika ini jurang itu masih wujud. Kami harus melakukannya.

"Kami boleh memperbaikinya tetapi saya tidak rasa 30 mata -- iaitu defisit mata musim lalu -- boleh diatasi dalam musim pertama."