Maurizio Sarri berkata panggilan pulang buatnya terlalu kuat di tengah-tengah ura-ura dia akan meninggalkan Chelsea untuk mengambil alih selaku pengurus Juventus.

Jurulatih Itali itu tiba di Stamford Bridge dengan perjanjian tiga tahun pada Julai 2018 tapi semakin kuat dikaitkan dengan kekosongan di kelab juara Serie A itu selepas Massimiliano Allegri angkat kaki.

Sarri, yang meraih trofi sulungnya ketika The Blues menundukkan Arsenal dalam final Liga Europa minggu lalu, mengakui tarikan kuat untuk kembali ke Itali mungkin sukar untuk ditolaknya.

“Bagi kami warga Itali, panggilan pulang adalah kuat,” katanya kepada Vanity Fair. "Anda berasa kehilangan sesuatu, (apatah lagi) ia adalah setahun yang amat berat. Saya semakin rindukan kawan-kawan yang jauh dan ibu-bapa yang jarang saya jengah.

“Pada usia selewat ini, saya hanya membuat pilihan profesional. Saya tidak akan berupaya melatih untuk 20 tahun lagi. Apabila saya pulang ke Tuscany, saya berasa seperti orang asing.”

Pemain tengah Chelsea, Jorginho, yang menyusuli Sarri ke Stamford Bridge daripada Napoli tahun lalu, berkata penyolong kelab Serie A itu menganggap perpindahan ke Juve sebagai satu pengkhianatan.

Sarri, bagaimanapun, menolak bahawa perpindahan ke Turin akan menyakitkan hati penyokong Napoli dan tidak percaya ia akan mengeruhkan hubungan mereka.

“Penyokong Napoli tahu kasih sayang saya kepada mereka,” tambahnya. “Saya memilih untuk ke luar negara tahun lalu dan tidak pergi ke sebuah pasukan Itali.

"Profesion ini boleh membawa anda ke haluan berbeza, namun hubungan tidak akan berubah. Kesetiaan ialah memberikan 110 peratus apabila anda berada di sana.

"Apakah maknanya untuk setia? Jika satu hari kelab menghantar anda ke luar, apa yang anda lakukan? Kekal bersama isteri yang telah menceraikan anda?”