Ross Barkley memiliki kualiti untuk muncul selaku pemain hebat buat kelab dan skuad kebangsaannya, kata pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.

Barkley, yang dipanggil semula untuk menyertai skuad England menjelang aksi Liga Negara-Negara UEFA berdepan Croatia dan Sepanyol, telah menjaringkan gol pertamanya bersama Chelsea semalam tatkala The Blues menewaskan Southampton 3-0 di tempat lawan.

Bekas pemain Everton itu turut menghasilkan satu bantuan jaringan, membuka ruang buat Eden Hazard untuk gol pembukaan dan Sarri -- yang menunjukkan kepercayaan terhadap Barkley sejak memegang jawatan pengurus di Stamford Bridge -- berpendapat pemain tengah itu berpotensi untuk menjadi kunci utama Chelsea dan England.

"Dia memiliki potensi untuk muncul selaku pemain hebat," kata Sarri.

"Dia memiliki kualiti, sangat penting dalam aspek fizikal dan teknikal dan kini dia terus meningkat.

"Barkley mampu menjadi pemain penting di dalam skuad England.

"Saya sangat gembira dengan jaringan dan bantuan gol yang dihasilkan. Ia menggembirakan saya apabila dia terus meningkat.

"Saya bercakap dengannya sejak hari pertama bahawa dia memiliki kualiti fizikal dan teknikal. Kini, dia telah membuktikannya."

Skuad kendalian Sarri itu masih mengekalkan rekod tanpa kalah tetapi bekas pengurus Napoli itu menegaskan Chelsea masih belum bersedia untuk bergelar pencabar utama Liga Perdana Inggeris.

"Apa yang saya fikirkan pada minggu lalu, ia masih sama. Saya rasa Manchester City dan Liverpool selangkah di hadapan," tambahnya.

"Kini, kami cuba untuk merapatkan jurang. Saya fikir agak sukar untuk mengecilkan jurang besar dalam masa semusim.

"Kadangkala, saya fikir kami mampu melakukannya dengan lebih baik. Kami harus mengawal perlawanan."

Bagaimanapun, pendapat Sarri itu tidak dipersetujui pengurus Southampton, Mark Hughes, tatkala pasukannya kini hanya dibezakan dua mata dengan zon penyingkiran.

"Mereka sentiasa menjadi pencabar utama. Kami ditewaskan 3-0 semalam dan saya tidak akan mengubah fikiran," ujar Hughes.

"Chelsea adalah sebuah pasukan yang sangat hebat."