Presiden Santos, Jose Carlos Peres, mengulangi minatnya terhadap khidmat Andreas Pereira setelah Yeferson Soteldo menyatakan impiannya untuk bergabung dengan Manchester United.

Pereira mempunyai kontrak bersama United hingga Jun 2023 dan semakin kerap tampil dalam kesebelasan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer sebelum wabak novel koronavirus (Covid-19) mendorong bola sepak bukan sahaja di United Kingdom, bahkan hampir seluruh seluruh dunia ditangguhkan.

Hanya Harry Maguire (41) dan Fred (39) yang tampil lebih banyak untuk The Red Devils musim ini manakala Pereira sebanyak 37 kali.

Pemain berusia 24 tahun itu merupakan penyokong Santos dan mengatakan minggu ini perpindahan ke gergasi Brazil akan membuatkannya menangis.

Peres dan Pereira saling berhubung bagi merealisasikan impiannya pada masa depan.

"Saya dan Andreas Pereira saling berbalas mesej di WhatsApp dan saya telah berbincang dengannya," kata Peres kepada Gazeta Esportiva.

"Dia bermain dengan baik di Manchester United. Dia pasti akan menyarung jersi kelab ini pada suatu hari kelak."

Komen Peres itu menyusuli tindakan pemain antarabangsa Venezuela, Soteldo, yang mendedahkan niatnya untuk meninggalkan Santos pada akhir tahun ini.

Soteldo menjelaskan keinginannya untuk membantu kelab itu menikmati kejayaan dalam Copa Libertadores dan Campeonato Brasileiro sebelum melebarkan kerjayanya dan berharap kejayaan itu akan membawanya ke United.

"Saya mahu menghabiskan musim ini bersama Santos pada Disember depan. Memenangi Libertadores dan apa sahaja trofi yang mungkin sebelum mengambil haluan berbeza," katanya kepada podcast 'El Drink Team'.

"Saya sering mengimpikan untuk beraksi bersama Manchester United. Impian itu masih membara. Masih banyak langkah lagi untuk sampai ke sana tetapi saya rasa boleh melakukannya.

"Saya mahu ke Eropah tetapi bukan sekadar pergi kemudian kembali. Saya mahu pergi dan meneruskan karier saya di sana dengan meraih kejayaan yang lebih besar. Saya sudah bersedia dan saya harus menunggu saat yang tepat untuk melakukannya."