Leroy Sane menyatakan bahawa mentaliti kemenangan yang dimiliki oleh Pep Guardiola telah memastikan Manchester City berjaya mengekalkan prestasi cemerlang.

City mengungguli saingan Liga Perdana Inggeris sejak permulaan musim ini dengan memiliki kelebihan lapan mata ke atas pencabar terdekat, Manchester United, selepas 11 perlawanan.

Skuad kendalian Guardiola turut mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) dan bakal berdepan Leicester City dalam aksi suku akhir Piala EFL pada Disember, membuktikan keinginan mereka untuk meraih kejuaraan selepas gagal melakukannya pada 2017.

"Beliau (Guardiola) mahu memenangi setiap perlawanan, tidak mengira kejohanan apa sekalipun," kata Sane.

"Beliau mahu merangkul kejuaraan, ia sangat bagus kerana anda memiliki jurulatih sepertinya. Dia memiliki banyak pengalaman dan berkongsinya bersama kami.

"Guardiola juga mahu setiap pemain memperbaiki kualiti permainan mereka. Dalam setiap sesi latihan, beliau cuba untuk membantu setiap pemain, menjadikan mereka lebih baik.

Sane -- yang tiba dari Schalke pada Ogos 2016 -- telah menjaringkan lapan gol musim ini, hanya ketinggalan satu gol untuk menyamai pencapaian musim lalu.Bagaimanapun, pemain kebangsaan Jerman itu mengakui dia perlu terus memperbaiki kualiti permainan jika mahu berada dalam kesebelasan utama Guardiola.

"Setiap pemain menyedari jika mereka gagal mempamerkan aksi terbaik, akan ada pemain lain yang lebih berhak mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

"Sebab itu, setiap pemain yang bagus perlu memiliki tekanan kerana iasecara tidak langsung meningkatkan mutu pasukan," katanya lagi.