Sane mahu terus berkembang bersama City

Oleh Staff Writer 25 November 2018 102
Sane mahu terus berkembang bersama City
Pemain Manchester City, Leroy Sane, berpendapat pasukannya memiliki ruang untuk terus berkembang walaupun setelah menundukkan West Ham United 4-0.

Juara Liga Perdana Inggeris itu meneruskan rekod tanpa kalah selepas 13 perlawanan semalam dalam usaha mempertahankan kejuaraan liga tatkala Sane menyumbat dua gol, disusuli jaringan David Silva dan Raheem Sterling.

West Ham yang dibimbing bekas pengendali City, Manuel Pellegrini, tampak buntu mengekang City di sepanjang perlawanan dan anak buah Pep Guardiola itu dilihat tidak perlu bekerja keras untuk memastikan gawang tidak dibolosi buat kali kelapan musim ini.

"Kami bermain dengan cukup baik daripada segi serangan dan bertahan," kata Sane.

"Namun, kami memberikan lawan ruang yang banyak untuk memberikan tekanan. Mereka sangat yakin walaupun ketinggalan 3-0.

"Sentiasa sukar selepas kembali daripada aksi antarabangsa, di mana semua pemain kembali selepas 10 hari mewakili negara tetapi secara keseluruhan, semuanya baik."

Sane kini meraih lima gol dalam liga dan telah menyumbat jaringan dalam tiga penampilan kesebelasan utama.

"Saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik buat pasukan. Pengurus meletakkan saya dalam kesebelasan utama dan bagus untuk menerima keyakinannya," tambah Sane.

Michail Antonio menggegarkan palang gol City sebelum sejam perlawanan dan berasa situasi pasti berlainan jika dia dan Marko Arnautovic menyempurnakan peluang dalam babak pertama.

"Kami meraih beberapa peluang tetapi ia bukan hari kami," ujar Antonio.

"Saya tidak rasa keputusan perlawanan mencerminkan corak permainan kami. Syaa rasa lawan mendapat empat peluang keemasan dan menggunakannya."

Mengenai persaingan kejuaraan liga, Antonio menambah: "Tentunya saya rasa City merupakan salah sebuah pasukan terbaik dalam liga. Mereka dan Liverpool terus menyinar dan Chelsea mula menemui sentuhan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen