Leroy Sane bersedia untuk menjadikan penyingkirannya daripada skuad Piala Dunia Jerman sebagai pemangkin semangat untuk mempamerkan permainan lebih baik bersama Manchester City, musim depan.

Pemain berusia 22 tahun itu dikejutkan dengan penyingkiran daripada senarai 23 pemain ke Russia walaupun melalui kempen peringkat kelab yang cemerlang sambil Joachim Low lebih selesa untuk membawa Julian Brandt.

Situasi itu membuatkan Sane hanya menonton perlawaanan dari rumah tatkala Jerman dikejutkan dengan prestasi buruk, tewas di tangan Mexico dan Korea Selatan, sehingga menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kejohanan tanpa melepasi peringkat kumpulan.

Sane dilihat mampu melupakan kekecewaannya tetapi ia tetap membakar semangatnya untuk mencapai tahap yang lebih tinggi di bawah kendalian Pep Guardiola.

"Ia adalah satu kejutan. Saya kecewa ketika itu dan minggu pertama menjadi sangat sukar buat saya," katanya.

"Selepas itu, Guardiola ada berbincang dengan saya. Kami bercakap tentang semua perkara, termasuk diri saya. Kini, kami hanya memikirkan cabaran akan datang.

"Ia hanya membuatkan saya untuk kembali dengan lebih bagus. Ia menjadi kejutan kerana saya sangkakan saya telah mempamerkan aksi terbaik.

"Seperti apa yang saya katakan, saya sangat kecewa sebelum ini dan masih berasakannya tetapi musim baru akan tiba.

"Ia memberikan anda motivasi. Saya benar-benar gembira, sedar bahawa saya mampu melakukan lebih baik. Saya masih melakukan kesilapan tetapi saya yakin mampu menjadi lebih bagus," ujarnya.