Sanchez, Ramsey pulih untuk hadapi Everton 

Oleh Penulis Jemputan 21 Oktober 2017 143
Sanchez, Ramsey pulih untuk hadapi Everton 
Arsenal dirangsang dengan khabar gembira mengenai Alexis Sanchez dan Aaron Ramsey menjelang kunjungan ke Everton, dengan pengesahan itu dibuat pengurus, Arsene Wenger.

Kedua-dua pemain itu tidak diturunkan sejak kembali daripada tugas antarabangsa, awal bulan ini, selepas masing-masing mengadu masalah paha dan hamstring.

Bagaimanapun, kedua-duanya dijangka bersedia untuk perjalanan ke Goodison Park, begitu juga dengan Laurent Koscielny.

Pemain pertahanan Perancis itu akan kembali selepas hanya menjadi penonton dalam kemenangan 1-0 ke atas Red Star Belgrade, semalam susulan mengalami kekejangan ketika tumpas 2-1 kepada Watford, minggu lalu. 

"Alexis, Koscielny dan Ramsey sudah pulih," kata Wenger kepada laman sesawang rasmi Arsenal sebelum mengesahkan penggempur, Danny Welbeck, dan pemain pertahanan, Shkodran Mustafi, tidak akan tampil sebelum jadual perlawanan antarabangsa, bulan depan.

"Welbeck tersisih, dia mempunyai masalah pangkal paha, saya fikir ia memerlukan dua atau tiga minggu untuknya kembali, dia tidak akan beraksi sebelum rehat antarabangsa.

"Mustafi tidak akan kembali, begitu juga David Ospina. Keadaan Ospina tidak begitu buruk, dia mempunyai masalah pangkal paha dalam beberapa minggu.

"Situasi Mustafi sedikit lebih buruk daripada Ospina.

"Calum Chambers juga akan kembali selepas rehat antarabangsa dan pemain lain baik-baik saja," jelasnya.

Arsenal berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL), berkongsi kedudukan dengan juara bertahan, Chelsea, dan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen