Bekas pengurus skuad wanita England, Mark Sampson, didakwa oleh Persatuan Bolasepak England (FA) atas tuduhan menggunakan kata-kata bersifat perkauman.

Sampson merupakan pengurus sementara kelab Liga Dua (Divisyen 4), Stevenage, dan didakwa melakukan pelanggaran undang-undang E3 FA berkaitan komen yang "tidak wajar dan/atau kesat dan/atau menghina.

Ia turut didakwa sebagai "pelanggaran lebih serius", yang merujuk kepada "etnik dan/atau warna kulit dan/atau warganegara".

Stevenage memulakan siasatan dalaman pada September lalu selepas tuduhan "menggunakan bahasa yang berbaur perkauman" itu dilaporkan kepada media.

Menurut kelab itu, dakwaan berkenaan, yang kononnya dibuat oleh bekas jurulatih Stevenage yang digantikan oleh Sampson, sebagai tidak berasas.

Bagaimanapun, susulan siasatan FA, Sampson diberikan tempoh sehinga 6 Disember ini untuk memberikan respons terhadap tuduhan itu.

Pengurus berbangsa Wales itu, yang membawa England ke separuh akhir Piala Dunia Wanita pada 2015, dipecat daripada skuad Lionesses berkenaan pada September 2017.

FA berkata tuduhan itu dibuat selepas terdapat bukti berlakunya "tingkah laku tidak sesuai dan tidak dapat diterima" sewaktu Sampson di Akademi Bristol.

Badan induk itu turut menegaskan pemecatan Sampson sebelum ini tiada kaitan dengan tuduhan yang dibuat bekas penyerang England, Eniola Aluko, bahawa terdapat tingkah laku diskriminasi yang dilakukan pengurus itu.