Liverpool menerima suntikan semangat apabila Mohamed Salah dan Virgil Van Dijk kembali menyertai sesi latihan menjelang aksi berdepan Huddersfield Town, esok.

Kedua-dua pemain itu berdepan masalah di bahagian otot serta rusuk sehingga memberikan pengendali, Jurgen Klopp, dilema tatkala dia menghadapi barisan kecederaan selepas aksi antarabangsa.

Sadio Mane melalui pembedahan tangan Rabu lalu dan hampir pasti menyertai Naby Keita yang tidak dapat beraksi esok susulan kecederaan paha yang dialami ketika mewakili Guinea.

Tiada antara mereka yang menyertai sesi latihan semalam di Melwood tetapi James Milner kembali setelah diikat tanpa jaringan oleh Manchester City, dua minggu lalu.

"Kami akan cuba mendapatkan semua pemain agar dapat beraksi esok," kata Klopp.

"Kami mungkin terlepas satu atau dua pemain tetapi akan cuba untuk membariskan semua yang ada. Jadi, anda harus tunggu."

Sementara itu, Adam Lallana yang kali terakhir disenaraikan dalam skuad September lalu, dijangka tampil berdepan The Terriers selepas pulih daripada kecederaan atas paha.

Klopp menegaskan pendekatan berhati-hati akan diambil ke atas pemain England itu.

"Kini, agak sukar untuk mengetahui tahap kecergasannya," tambah pengendali The Reds itu.

"Namun, sesi latihan tampak menarik. Dia jelas menikmati aksi bola sepak. Mudah untuk menonton aksinya.

"Kami akan lihat apa yang boleh dilakukan. Tiada siapa yang tahu berapa lama dia mampu beraksi."