LIVERPOOL 1 CHELSEA 1

Kapten Liverpool, Jordan Henderson, memuji persembahan mantap Mohamed Salah ketika seri 1-1 dengan bekas pasukannya, Chelsea, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Eden Hazard muncul sebagai pemain yang cemerlang dalam babak pertama perlawanan di Anfield dengan menghasilkan beberapa percubaan berbahaya buat juara EPL itu manakala Salah mengetuai jentera serangan Liverpool selepas menyerap asakan The Blues.

Penyerang Mesir itu meledak gol ke-15 musim ini pada minit ke-65 tetapi Willian – salah seorang pemain yang menghalang peluang Salah membuktikan kebolehannya ketika bersama Chelsea -- hadir sebagai pemain gantian dan menyamakan kedudukan lima minit sebelum perlawanan tamat.

"Dia terus mempamerkan persembahan cemerlang daripada perlawanan ke perlawanan," kata Henderson.

"Salah menjaringkan gol yang sangat baik dan saya sangka dia dapat menghasilkan satu lagi buat Liverpool."

Henderson menghadapi perlawanan ini selepas dikritik mengenai persembahan ketika seri 3-3 dengan Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), apabila skuad bimbingan Jurgen Klopp membazirkan peluang apabila mendahului perlawanan 3-0.

Dia menyifatkan persembahan yang lebih baik dan berasakan juara bertahan, Chelsea, bernasib baik kerana dapat berkongsi mata dengan mereka.

"Kami kecewa kerana meraih satu mata, saya berasakan kami mampu bertahan untuk meraih tiga mata.

"Ia merupakan perlawanan yang sangat baik buat kedua-dua pasukan, secara taktikalnya, Liverpool dan Chelsea mempunyai peluang dan saya berasakan Chelsea gembira meraih satu mata," katanya.

Liverpool kini menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris dengan 23 mata, ketinggalan tiga mata di belakang Chelsea.