Penggempur Liverpool, Mohamed Salah, mempamerkan kualiti permainan sama seperti Lionel Messi, kata bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Salah memenangi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris dalam dua musim terakhir -- walaupun terpaksa berkongsi dengan rakan sepasukannya, Sadio Mane, dan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, bagi musim 2018-19 -- dan pemain berusia 27 tahun itu telah menghasilkan 13 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Bekas tonggak AS Roma itu juga telah menghasilkan tujuh bantuan gol, termasuk ketika membolehkan Naby Keita menyumbat gol pembukaan ketika Liverpool menewaskan Monterrey 2-1 dalam separuh akhir Piala Dunia Kelab kelmarin.

Tatkala bintang Mesir itu bertindak selaku perancang dan dalam masa sama menawarkan penyudah tepat, Wenger percaya Salah kini telah menampilkan permainan yang menyamai tahap bintang Barcelona dan pemenang Ballon d'Or tahun ini, Messi.

"Saya sukakan evolusinya," katanya kepada beIN Sports.

"Ia disebabkan sentuhannya selaku perancang ketika menentang Monterrey.

"Dia mencipta peluang dalam kotak penalti dengan hebat, terdapat bayang-bayang Messi dalam dirinya dan saya sukakan pemain yang boleh menjaringkan banyak gol dan dalam masa sama, mencipta bantuan jaringan.

"Itu adalah pemain sempurna. Itu yang kami mahukan daripada setiap pemain."

Sesi temu bual Wenger itu turut disertai pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, yang memuji kenyataan bekas jurulatih dari Perancis itu.

"Pengalaman yang sangat bagus bersama Salah tetapi apa yang paling positif adalah padang latihan, ia sangat baik," ujar bekas pengurus Borussia Dortmund itu.

"Di atas padang, dia memang sangat bagus."

Liverpool akan menentang pemenang Copa Libertadores, Flamengo, dalam final Piala Dunia Kelab di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar malam esok (1.30 pagi Ahad waktu Malaysia).