Salah merajuk atau tidak cergas?

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Mac 2021 4902
Salah merajuk atau tidak cergas?
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menjelaskan keputusan mengejutkannya mengeluarkan Mohamed Salah tatkala juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sedang memburu gol penyamaan sebelum tewas 0-1 kepada Chelsea adalah kerana enggan mengambil risiko kecederaan.

Liverpool berusaha memburu gol penyamaan selepas Mason Mount menggegar gawang dalam separuh masa pertama, namun tindakan Klopp menggantikan taruhan terbaik di bahagian serangan itu sebagai sebahagian daripada pertukaran berganda yang melibatkan Diogo Jota dan Alex Oxlade-Chamberlain, awal pagi tadi. 

Penggempur dari Mesir itu memberi reaksi tidak senang ketika menuju ke bangku simpanan di Anfield, sejurus itu ejennya mengundang spekulasi menerusi ciapan di Twitter dengan tanda noktah sahaja. 

Namun, ketika bercakap dalam sidang akhbar selepas perlawanan, Klopp tidak mahu memperbesarkan situasi itu dengan menegaskan Salah dikeluarkan semata-mata demi memastikannya tidak mengalami kelesuan. 

"Pemain saya kelihatan kecewa, itu bukan satu masalah. Saya tidak melihat apa yang Mo lakukan," katanya kepada wartawan.
 
"Sebab penggantiannya, saya mungkin boleh menukarkannya dengan pemain lain tetapi alasan di sebalik tindakan ini ialah kami mendapati dia mula terkesan dengan keamatan permainan ini jadi saya tidak mahu mengambil risiko, itu saja.

"Ia sangat jarang berlaku, saya sudah lama mengenalinya dan biasanya Mo kelihatan sangat segar hingga ke hujung perlawanan. 

"Tetapi tidak hari ini dan saya fikir itu sebagai satu petanda; dalam situasi kami, saya tidak mahu mengambil risiko."


 

Selepas tiga tahun setengah tidak tewas dalam saingan liga di Anfield, tuan rumah melalui detik buruk apabila buat kali pertamanya merekodkan lima kekalahan berturut-turut. 

Liverpool kini di tangga ketujuh EPL, empat mata dijurangkan dengan empat pasukan teratas dan 22 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Ketika ditanya apakah dia telah bercakap dengan pemainnya tentang apa yang perlu dilakukan bagi meredakan kebimbangan yang dihadapi ketika ini, Klopp menjawab: "Bukan malam ini. Saya berusaha untuk bersikap sejujur ​​yang mungkin. Saya memang ada memberitahu barisan pemain apa yang saya lihat malam ini."

Terdorong dengan apa yang dimaksudkan dengan kejujuran, pengurus The Reds itu menambahkan: "Bukannya kami mahu mencari sebarang alasan pada saat ini.

"Selalunya perlawanan seperti ini diputuskan dalam beberapa detik. Dan untuk bangkit, anda harus berjuang malah anda juga harus berjuang pada tahap yang berbeza dalam detik tertentu. 

"Itulah yang saya katakan kepada pemain-pemain. Pada saat-saat ini, ia bukan mengenai soal taktik, ia mengenai naluri dan seumpamanya.

"Saya tidak mengatakan bahawa pemain tidak mencurahkannya sepenuh hati, saya tahu bahawa mereka telah cuba melakukan yang terbaik tetapi ini soal beberapa peratusan kecil elemen yang boleh menjadi penentu.

"Kami tidak mahu mula menunding jari, ia tidak akan berlaku.

"Kami mempunyai sebuah pasukan mantap, pasukan yang sangat bagus di atas padang pada malam ini dan kami kerap mempamerkan aksi menarik. 

"Tetapi kami tidak melakukannya pada detik terbaik dan hanya ada seorang atau kumpulan yang boleh mengkritiknya: iaitu saya dan kami. Itulah yang saya katakan kepada pemain-pemain."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen