LIVERPOOL 2 BOURNEMOUTH 1

Jaringan Mohamed Salah dan Sadio Mane membolehkan Liverpool melakar rekod baru ketika mengalahkan Bournemouth 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield sebentar tadi.


Liverpool mencipta sejarah tersendiri dengan meraih kemenangan ke-22 berturut-turut di laman sendiri meskipun Callum Wilson terlebih dahulu meledak jaringan pembukaan kontroversi apabila didapati menolak Joe Gomez namun tidak diendahkan pengadil, Paul Tierney, mahupun diteliti menerusi video bantuan pengadil (VAR).

Bournemouth membuatkan penyokong tuan rumah tergamam ketika permainan baru berusia sembilan minit selepas Wilson mengatasi Gomez sebelum penyerang itu membuat penyudah yang baik dalam gerakan yang turut melibatkan Philip Billing dan Jefferson Lerma.


Lima minit kemudian, Nathan Ake berputih mata apabila tandukan kencangmua mengenai palang tatkala penjaga gol, Adrian, yang menampung kecederaan Alisson hanya mampu menjadi pemerhati.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu yang tersentak mula bertindak balas sejurus ketinggalan dengan Mane saling bergandingan dengan Salah, yang merekodkan jaringannya yang ke-100 bersama The Reds dalam EPL menerusi gol pada minit ke-25.

Mane kemudian memanfaatkan kegoyahan benteng Bournemouth untuk memastikan tuan rumah bangkit selepas menempa kekalahan pertama liga musim ini kepada Watford, hujung minggu lalu selain kekalahan Piala FA kepada Chelsea pada pertengahan minggu.